Apa sahaja yang kita terima dalam hidup ini bukan sahaja daripada berkat usaha semata – mata, namun ianya juga adalah dengan bantuan Allah SWT. Oleh itu, pantas sahaja kita wajib menzahirkan kesyukuran kepadaNya. Jangan pula kita mengeluh dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT ke atas segala nikmat yang diberi.
Perbuatan seorang individu yang viral di media sosial berkenaan pertikaian bantuan yang diterima daripada sebuah badan kerajaan sebelum ini mengundang banyak persepsi masyarakat. Ramai di kalangan netizen yang meluahkan rasa tidak puas hati dan melabelkan individu tersebut sebagai tidak tahu bersyukur. Seharusnya dalam keadaan begini, individu berkenaan tidak boleh mempertikaikan bantuan yang diterima kerana bantuan ini bersifat sementara.
Perlakuan individu berkenaan telah mengundang fitnah kepada institusi berkenaan yang telah membantunya semenjak dari tahun 2018. Individu berkenaan seharusnya menzahirkan rasa syukur kerana dia adalah antara yang ‘dipilih’ oleh Allah SWT untuk menerima bantuan dalam usaha meningkatkan kualiti dan ekonomi hidup keluarganya. Allah SWT berfirman:
“Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (QS Al – Nahl: 114).
Dalam kehidupan ini, kita perlulah selalu bersyukur walau sekecil perkara sekalipun. Nikmat Allah SWT kepada kita semua adalah terlalu banyak dan tidak terhitung. Orang yang bersyukur adalah orang yang tahu berterima kasih. Tidak kira sedikit atau banyak rezeki dan nikmat yang telah diberi oleh Allah SWT, sentiasalah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Sebagai umat Islam, kita seharusnya malu untuk mengeluh kerana Allah SWT telah memberikan nikmat yang melimpah ruah.
Sumber: Portal e – Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan
Comments
Post a Comment