DUNIA TANPA SEMPADAN – ANCAMAN BARU MENGGUGAT KEDAULATAN NEGARA


Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai beberapa siri penjajahan dan berpengalaman dalam menghadapi ancaman dari luar dan dalam negara.  Meskipun Malaysia terus mencatatkan pencapaian membanggakan dalam aspek keselamatan sebagaimana Indeks Keganasan Global (GTI) 2024 yang menunjukkan penurunan dalam ancaman keganasan iaitu berada di tangga ke-10 dunia dan kedua di Asia paling aman, namun langkah pembendungan, pemantauan serta penguatkuasaan terhadap segala ancaman perlu dilakukan secara berterusan. 

Ancaman keselamatan yang dihadapi pada masa ini adalah bersifat 'asymmetrical' iaitu bersifat tidak seimbang. Jika dahulu negara pernah menghadapi ancaman pihak komunis sehingga terjadinya peristiwa berdarah 13 Mei 1969, kini negara berdepan pula dengan ancaman keganasan, puak-puak pelampau serta ekstrimis dan ancaman keselamatan siber.  

Faktor kepada ancaman keselamatan dan perpaduan ini dikembangkan lagi melalui kepesatan era globalisasi jaringan dunia tanpa sempadan dan teknologi yang semakin canggih dan terkini. Nilai-nilai kenegaraan yang berkisar kepada komponen sejarah, budaya, bangsa, agama, politik dan ekonomi dapat dengan mudahnya dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan pelbagai ancaman keselamatan terhadap perpaduan dan nilai kemakmuran sesebuah negara. 

Justeru itu, tanggungjawab dalam menjaga kedaulatan dan keharmonian negara ini bukan hanya terfokus kepada penguatkuasa keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Malah setiap warganegara perlu mempunyai rasa tanggungjawab yang sama dengan cara menyederhanakan diri dalam kehidupan iaitu tidak terlalu taksub dengan pegangan politik, tidak taksub kepada mana-mana 'tok guru' dalam apa jua agama dan sebagainya. Hal ini kerana ketaksuban itulah menjadi salah satu punca tercetusnya persengketaan seterusnya membuka ruang bibit-bibit keganasan. Hindarilah diri dari terpengaruh dengan situasi-situasi yang dilihat mampu mencabar kedaulatan negara demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. 

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- JUN 2025, Majlis Keselaman Negara – JAN 2025


 

Comments