“GRUP BUDAK – BUDAK SEKOLAH RENDAH” ADALAH SEKUMPULAN PENJENAYAH: LINDUNGILAH DIRI DAN KELUARGA DARI KEGILAAN MANUSIA AKHIR ZAMAN!
Baru – baru ini kita digemparkan dengan kewujudan satu ‘group’ yang direka cipta di laman sosial Facebook bernama “Grup Budak – Budak Sekolah Rendah”. Apa yang mengejutkan adalah ‘group’ ini bukanlah direka untuk kegunaan para pelajar sekolah sebaliknya ia merupakan sebuah ‘group’ golongan dewasa yang menggunakan gambar kanak – kanak dan juga remaja perempuan yang masih di bangku sekolah sebagai khayalan fantasi mereka berkenaan seksualiti.
Sungguh jijik dan membahayakan! Manusia akhir zaman semakin hari semakin berani melakukan kejahatan tanpa ada sedikit pun rasa takut kepada Allah SWT. Nauzubillahiminzalik! Kerana kecintaan kepada dunia yang semakin menggila, sehinggakan sanggup membahayakan nyawa orang lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.” Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu Daud).
Maka apa yang perlu kita lakukan? Ibu bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling harus mengambil peranan masing – masing dalam melindungi diri terutamanya kepada anak – anak perempuan mereka agar tidak menjadi mangsa kepada sekumpulan penjenayah ini. Walaupun difahamkan ‘group’ berkenaan sudah tidak boleh diakses, langkah berhati – hati harus diutamakan kerana mungkin barangkali akan ada ‘group’ baru yang diwujudkan dan berselindung di sebalik identiti yang lain.
Kepada syarikat – syarikat pengendali laman media sosial, jangan sekadar tutup mata kerana keuntungan yang akan mengakibatkan orang lain kerugian atau lebih parah kehilangan nyawa. Tapislah segala kandungan dan juga ‘group – group’ yang diwujudkan demi kenyamanan dan keselesaan rakyat negara ini. Laman sosial kini bukanlah kegunaan orang dewasa sahaja malah ia juga kegunaan anak – anak di bawah umur.
Buat para ibu bapa, lindungilah anak – anak daripada menjadi mangsa penjenayah pedophilia. Tapis juga segala kandungan yang disiarkan dan sekiranya terdapat kandungan yang mencurigakan atau menyalahi undang – undang, segera laporkan kepada pihak berwajib untuk diambil tindakan. Jika tidak kita yang mencegah, siapa lagi yang mampu? Lindungilah diri dan keluarga kita daripada kejahatan manusia akhir zaman. Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang membaca pada waktu pagi dan petang:
“أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّآمَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ”
“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan segala makhlukNya.”
Tidak akan berlaku perkara yang memudaratkannya (sepanjang hari).” (HR Muslim).
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment