IBRAH (PENGAJARAN) TRAGEDI KEMALANGAN PELAJAR UPSI MEMELIHARA JIWA ITU ADALAH TUNTUTAN WAJIB MAQASID SYARIAH
Tragedi kemalangan maut yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, Perak mengundang duka kepada seluruh rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, sebelum ini kemalangan yang melibatkan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada 13 Mei lalu juga mengundang duka buat seluruh negara kerana meragut nyawa sembilan anggota polis.
Terlalu banyak kejadian kemalangan di negara ini hingga mengundang ketakutan kita secara keseluruhan. Namun, kita perlu yakin bahawa selagi kita bergantung kepada Allah SWT, In Shaa Allah dengan izinNya, kita akan dijaga dan dilindungi olehNya. Bukankah kita telah diajar oleh Rasulullah SAW tentang doa dalam memohon perlindungan dan keselamatan? Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang membaca: (Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” (HR Abu Daud & At – Tirmidzi).
Memelihara diri dan nyawa merupakan prinsip kedua terpenting mengikut urutan keutamaan dalam maqasid syariah selepas memelihara agama. Hal ini termasuklah tanggungjawab menjaga nyawa para penumpang kenderaan awam. Sifat perikemanusiaan dan menjunjung tinggi kemuliaan insan perlu sentiasa disemat dalam sanubari insan sewaktu melakukan muamalah seharian. Setiap Mukmin hendaklah sentiasa prihatin dan berhati-hati terhadap perkara-perkara yang boleh memudaratkan dan mengancam keselamatan dirinya, ahli keluarganya dan masyarakat. Firman Allah SWT:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Perlu diingat, menjaga keselamatan diri dan nyawa adalah sebagaian dari maqasid syariah dan dituntut agama. Hal ini memberi maksud, wajib kita menjaga dan melindungi diri dan orang lain bagi mencapai kebaikan dan memberi manfaat, sekaligus menolak keburukan dan menghilangkan kemudaratan. Jadilah seorang Mukmin yang sentiasa mengingatkan keselamatan diri dan orang lain kerana setiap nyawa itu amat bernilai harganya.
Sumber: Jabatan Agama Islam Perak
Comments
Post a Comment