INDIVIDU-INDIVIDU SISTER IN ISLAM (SIS) YANG BERPEGANG PADA LIBERALISME DAN PLURALISME ADALAH SESAT

 


Sister in Islam (SIS) ForumMalaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Individu-individu Melayu-Islam di dalam SIS Forum ini berpegang kepada ideologi liberalisme dan pluralisme dengan tegar memperjuangkan isu feminisme iaitu memperjuangkan hak wanita Islam perlu selari dengan hak lelaki. Mereka turut mempertikaikan hukum syariat sebagaimana ketetapan al-Quran dan as-Sunnah yang bagi mereka adalah sangat tidak adil dan telah mencabuli hak asasi manusia.

Antara bukti lain yang menunjukkan ideologi dibawa individu-individu SIS Forum ini boleh memesongkan akidah adalah menyokong perhimpunan LGBT, menggesa amalan bersunat diharamkan, menyatakan al-Quran tidak pernah mewajibkan pemakaian tudung dan ia hanya pilihan peribadi seseorang, menolak hukum hudud serta mendakwa hukum syariah tidak adil kepada wanita, memperlekehkan fatwa dan sebagainya. 

Rentetan itu pada:
31 JULAI 2014 - Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah mewartakan SIS Forum, dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam;
31 OKTOBER 2014 - Ketidakpuasan hati atas keputusan fatwa tersebut, SIS Forum melalui pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, telah memfailkan permohonan mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur;
27 OGOS 2020 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak semua permohonan SIS Forum dengan alasan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkait hukum syarak dalam undang-undang syariah; 
14 MAC 2023 – Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan SIS Forum dengan keputusan 2-1. Namun, panel membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan sementara pelaksanaan fatwa sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai;
19 JUN 2025 – Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa individu-individu di dalam SIS Forum yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. 

Berdasarkan keputusan mahkamah tersebut, apa yang perlu anda fahami adalah: 

- Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam;
- Meskipun mahkamah membenarkan rayuan SIS Forum yang menyatakan fatwa tidak boleh dikenakan kepada pertubuhan SIS Forum yang didaftarkan di bawah ROS serta di luar bidang kuasa syariah, namun masyarakat perlu fahami bahawa fatwa itu terpakai kepada individu-individu di dalamnya yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme;
- Walaupun SIS Forum mempertikaikan bidang kuasa majlis fatwa yang mengarahkan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman web sosial atau mengarahkan pihak Keselamatan Dalam Negeri (KDN) untuk menangkap individu-individu berkenaan, namun adalah tidak salah bagi pihak majlis fatwa atau Majlis agama Islam Negeri (MAIN) untuk menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua pihak tersebut. Sekiranya kedua-dua pihak tersebut bertindak, maka tindakan tersebut adalah di bawah bidang kuasa SKMM dan KDN sendiri, bukannya di bawah bidangkuasa MAIN;  
- Disebabkan pertubuhan SIS Forum membawa nama Islam pada nama pertubuhannya, maka seharusnya pandangan atau pendapat yang dikeluarkan kepada masyarakat mestilah selari sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam, bukannya mempertikaikan atau mencabar fatwa, menafsir baru ayat-ayat al-Quran dan hadis atau mengubah hukum-hukum Islam;  
- Masyarakat juga perlu fahami bahawa ahli-ahli yang membuat fatwa adalah dalam kalangan mufti-mufti dan alim ulama yang sememangnya layak dalam bidangnya;
- Keputusan hari ini menggambarkan bahawa pintu kepada cabaran fatwa pada masa akan datang adalah tertutup;
- Mana-mana individu yang berpegang kepada ideologi liberalisme dan pluralisme hendaklah bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenar sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
 
Keputusan ini juga menggambarkan bahawa agama Islam tetap akan disanjung tinggi dan sentiasa menjadi elemen yang perlu dipertahankan kedaulatan serta kesucian agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Mana-mana pihak yang cuba memperkotak-katikkan agama Islam sebagaimana individu-individu di dalam SIS Forum perlu dibendung dan dipatahkan sebelum ancaman pemikirannya mengancam akidah umat Islam di Malaysia.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – 19 JUN 2025 dan Malaysia Gazette – 19 JUN 2025


Comments