ISU CONTENT “HARI PERTAMA DI NERAKA” - KEGILAAN MANUSIA DAN TEKNOLOGI AKHIR ZAMAN MENCABAR KUASA TUHAN

 


Heboh sejak berberapa hari ini di ruangan platform TikTok yang meperlihatkan ‘content’ (kandungan) “Hari Pertama Di Neraka”. Kandungan tersebut kini tersebar luas dan menjadi bahan gurauan manusia hari ini. Penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) di dalam kandungan itu memperlihatkan bagaimana manusia dengan bersenang lenang menikmati aktiviti mandi manda di kawah gunung berapi yang dianggap sebagai neraka.

Isu ini menarik perhatian ramai netizen dan tidak ketinggalan juga para asatizah yang menganggap gurauan ini keterlaluan kerana menggambarkan gambaran neraka semata – mata untuk tujuan bahan jenaka. Seperti kata pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus bahawa barangsiapa yang mempersendakan kuasa Allah SWT lebih – lebih lagi sekiranya dia seorang Muslim, maka sudah jatuh hukum kepadanya murtad dan kafir laknatullah. 

Tahukah kita bagaimana keadaannya isi neraka? Tidak ada satu pun daripada kita yang tahu melainkan Allah SWT dan Rasulullah SAW. Akan tetapi, hari ini ia dijadikan bahan gurauan dek kerana kemunduran akal manusia akhir zaman yang menggunakan teknologi canggih atas nama kemajuan. Terlalu banyak ayat – ayat al – Quran dan hadis – hadis Nabi SAW yang mengisyaratkan betapa derita, pedih dan sengsaranya api neraka. Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

“Dinyalakan api seribu tahun sehingga ia menjadi merah kemudian dinyalakan seribu tahun jadi putih kemudian dinyalakan seribu tahun lagi sehingga ia menjadi hitam. Maka sekarang warnanya hitam seperti malam yang gelap gelita.” (HR At - Tirmidzi).

Dalam sebuah hadis lain, sabda Rasulullah SAW:

“Api dunia yang kemu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api nereka.” Mereka bertanya: “Wahai Rasulllah, meskipun semua dikumpulkan?” Rasulullah SAW bersabda: “Ia lebih panas 69 kali.” (HR Muslim).

Ingatlah, neraka bukanlah satu tempat yang boleh dijadikan bahan jenaka. Biarpun dunia dilanda kemajuan dan kecanggihan tekonologi, tetapi janganlah kita menjadikan pemikiran kita semakin sempit dan mundur ke belakang dengan lawak yang berdosa. Nerak aitu mengikut al – Quran dan hadis adalah tempat yang sangatlah hebat azabnya. Rasulullah SAW bersabda:

 “Jika penghuni Neraka Jahanam mengeluarkan tapak tangannya ke dunia sehingga dapat dilihat, maka dunia terbakar kerana panasnya. Jika penjaga neraka dikeluarkan kepada penduduk dunia sehingga dapat dilihat, maka penghuni bumi mati ketika melihatnya kerana berasal daripada kemurkaan Allah SWT.” (HR Muslim).

Dalam sebuah lagi hadis sahih Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

“Sedang kami duduk bersama - sama Rasulullah SAW tiba-tiba terdengar suatu bunyi seperti bunyi batu yang jatuh.Rasulullah SAW bersabda: “Allah dan RasulNya lah yang lebih mengetahui.” …Ujar Baginda: “Itulah bunyi sebuah batu yg dicampakkan kedalam neraka sejak 70 musim (tahun) terus menjunam ke dalam dan baharu sekarang sampai ke dasarnya.”

Lihatlah betapa dasyatnya gambaran neraka yang digambarkan oleh Rasulullah SAW. Masih mahukah kita menjadikannya bahan jenaka? Hanya yang tidak beriman kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dan hari akhirat sahaja merasakan ini sesuatu yang lucu. Orang yang beriman dengan agama Islam akan merasa gentar kerana gambaran azab yang diceritakan itu sahaja sudah mampu membuatkan mereka Insaf. Maka renung – renungkanlah hati dan tahap keimanan kita. Wallahualam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments