MASJID TEMPAT MENGAUT KEUNTUNGAN? KETAHUI FUNGSI DAN PERANAN MASJID SELAIN MENJADI TEMPAT BERIBADAH

 


Baru – baru ini heboh di media sosial mengenai seorang tokoh agamawan yang mengeluarkan kenyataan bahawa masjid adalah tempat untuk beribadah dan bukannya tempat untuk mengaut keuntungan. Ini berikutan video sebuah masjid di salah satu negeri di utara tanah air yang menjadikan masjid dan kawasannya seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk kegunaan para musafir.  Maka, berduyunlah para netizen di media sosial menyelar kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh agamawan terbabit termasuk menggelarkannya dengan bermacam gelaran akibat daripada kenyataan tersebut.

Artikel kali ini bukanlah bermaksud untuk melawan debat antara kenyataan yang dikeluarkan oleh tokoh agamawan terbabit, tetapi sekadar memberi sedikit pencerahan berkenaan dengan fungsi masjid selain menjadi tempat beribadah kepada umat Islam. Mengikut artikel yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 16 Jun 2019, masjid adalah rumah Allah SWT yang diamanahkan kepada hamba-hamba untuk dijadikan sebagai tempat untuk mengingati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini selaras dengan firmanNya:

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (QS An – Nur: 36).

Persoalan berkaitan jual beli di dalam masjid ini, juga disebut dengan jelas di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu.” (HR At – Tirmidzi).

Akan tetapi, dalam meraikan pendapat-pendapat ulama’ berkaitan dengan masjid pada zaman ini, yang senibinanya berbeza serta mempunyai ruangan-ruangan tertentu yang digunakan untuk tujuan lain, perlu dilihat pendapat ulama’ yang membincangkan hal ini. Antaranya, Syeikh Bin Baz  dalam menjawab persoalan berkaitan dengan hukum wanita haidh masuk ke ruangan yang bersambung dengan masjid tetapi bukan tempat solat, seperti pewakaf tanah masjid itu meniatkan ruangan yang bersambung untuk dijadikan kedai atau stor, maka ruangan tersebut tidak mengikut hukum-hukum yang berkaitan dengan masjid.

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam menjawab hukum wanita haidh menghadiri pengajian di ruangan-ruangan kelas yang bersambung dengan masjid turut membenarkan kerana ruangan itu tidak dianggap sebagai masjid tetapi hanyalah mulhaq ataupun bersambung dengan masjid. Pada hari ini, kebanyakan masjid telah mempunyai binaan yang berbeza di mana bangunan untuk solat telah diasingkan dengan kompleks – kompleks pengurusan lain bertujuan untuk mengasingkan antara tempat beribadah dan tempat pentadbiran.

Sejak di zaman Rasulullah SAW, masjid berperanan sebagai:

1) Pusat ibadah.
2) Pusat pendidikan. 
3) Pusat ekonomi.
4) Pusat politik.
5) Pusat seni.
6) Tempat perlindungan.
7) Tempat kegiatan harian.

Perlu diketahui, dalam arus modenisasi, fungsi masjid perlu dilihat bukan sekadar tempat ibadah ritual semata-mata, tetapi juga sebagai institusi yang memacu pembangunan rohani, sosial dan intelektual masyarakat Islam keseluruhannya. Ini seperti firman Allah SWT:

"Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah. Maka merekalah yang diharapkan termasuk golongan yang mendapat petunjuk." (QS At – Taubah: 18).

Ayat di atas menegaskan bahawa memakmurkan masjid bukan hanya dengan kehadiran fizikal, tetapi juga dengan penghayatan nilai Islam yang holistik dan komprehensif atau syumul dalam kehidupan Muslim seharian. Daripada kita berkritik mengenai tugas seseorang memakmurkan masjid menjadi pusat seharian umat Islam, apa kata kita bertanya pada diri sendiri, apakah peranan kita dalam memakmurkan masjid?

Tidak salah tindakan individu tersebut dalam membangunkan ekonomi di kawasan masjid kerana urusniaga dilakukan di perkarangan masjid dan bukannya di dalam masjid. Dek kerana tindakannya itu, ekonomi masyarakat di kawasan perkampungan tersebut kini bertambah maju. Jangan pandang yang jelek sahaja dengan mengatakan “ini perkara lagha. Melalaikan umat Islam untuk beribadat kerana terikat dengan urusan dunia.” 

Memang benar, secara asasnya keseluruhan masjid adalah dilarang untuk dilakukan urusan jual beli. Namun begitu, ruang-ruang yang didirikan asing daripada dewan solat utama, seperti kawasan tempat letak kereta, ruangan-ruangan yang dibina khas untuk tujuan lain adalah dibenarkan. Walaubagaimanapun, kesemua perniagaan ini hendaklah dipastikan menghormati waktu solat sehingga tidak melalaikan para jemaah hingga dapat memastikan Jemaah tidak leka berjual beli sehingga tersasar dari tujuan asal datang ke masjid adalah untuk beribadat.

Pandanglah dari sudut positif tentang apa yang disumbangkan oleh para-Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan. Jangan sekadar serkap jarang dengan mengatakan yang tidak nampak di mata. Jadilah seorang Muslim dengan hati yang bersih dan tidak saling mempunyai perasaan hasad dengki. Wallahualam. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments