MULIAKANLAH AL – QURAN HINGGA KE AKHIR HAYAT


Sebagai umat Islam, kita sudah diwajibkan untuk beriman dan beramal dengan kitab teragung kita iaitu al – Quran. Al – Quran adalah panduan hidup kepada seluruh Muslim dalam meraih keredhaan Allah SWT. Bahkan di dalamnya banyak dicoretkan tentang kisah umat – umat terdahulu untuk kita jadikan pengajaran, suruhan dan perintah Allah SWT kepada para hambaNya dan pelbagai kisah lagi sebagai rujukan kehidupan.

Bukti kemukjizatan al-Quran ada dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat kedua, di mana Allah SWT telah menegaskan bahawa al-Quran adalah sebuah kitab yang tidak ada keraguan padanya. Rasulullah SAW telah berpesan kepada semua manusia akan peri pentingnya pegangan yang kukuh kepada kitab Allah ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW:

“Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada keduanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Al Quran dan sunnahku.” (HR Malik).

Kisah dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dengan kemalangan maut tempoh hari membuka mata rakyat bagaimana mereka memuliakan al – Quran hingga ke akhir hayat. Salah seorang daripadanya dikatakan ditemui dalam keadaan memeluk al – Quran manakala seorang lagi dikatakan mengamalkan surah Yassin dan surah al – Mulk sebelum tidur. Pengakhiran yang sangat indah, di kala ramai golongan muda yang berusaha mengejar populariti dan kemewahan, mereka berdua berusaha untuk menjaga diri mereka dengan kalamullah serta berusaha menghafalnya. 

Maka dari itu, mulai hari ini marilah kita mulakan hidup kita dengan memuliakan al – Quran dan beramal dengannya. Dunia ini sudah tidak panjang usianya, maka kita harus merubah diri kita dengan kembali kepada kitab panduan hidup orang Islam agar kita sentiasa menjadi umat Islam yang taat dan tawadduk dalam mengerjakan suruhan Allah SWT. 

Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Comments