PENIPUAN PAKEJ HAJI YANG TIDAK BERKESUDAHAN JADILAH UMAT ISLAM YANG SENTIASA PEKA, BIJAK DAN TIDAK TERPERDAYA
Untuk kesekian kali, artikel membawa kembali isu yang tidak berkesudahan setiap kali tibanya musim haji. Penipuan! Penipuan haji tidak akan pernah habis malah modus operandinya semakin galak menipu rakyat Malaysia terutamanya warga emas lebih – lebih lagi pegawai kerajaan yang sudah bersara. Seperti laporan kelmarin di mana 47 jemaah haji ditipu oleh sebuah agensi pelancongan dan mereka terpaksa mengharungi jalan yang panjang untuk masuk ke dalam kota Makkah tanpa visa haji.
Walaupun berita ini amat menyedihkan kerana melibatkan warga emas, tetapi sebagai Muslim kita perlu berfikiran cerdas dan tidak sesekali terperdaya dengan penipuan pakej haji dengan harga yang tidak masuk dek akal ini. Sudah berapa banyak laporan berita yang melaporkan tentang penipuan pakej haji saban tahun, adakah kita masih tidak mahu mengambil iktibar. Artikel faham akan perasaan segelintir pihak yang merasakan terlalu lama untuk menunggu giliran daripada Tabung Haji (TH) dan juga mungkin risau jika hayat tidak panjang untuk menunggu mengerjakan ibadah haji.
Akan tetapi, adakah kita sanggup ditipu oleh pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab? Bayangkan kita mengumpul duit selama berpuluh tahun semasa di dalam perkhidmatan dengan tujuan untuk mengerjakan ibadah haji apabila bersara nanti namun akhirnya ditipu oleh agensi – agensi yang “kononnya” dilantik oleh pihak TH untuk mengendalikan jemaah haji yang berikutnya dengan yuran yang meragukan.
Dalam hal ini, kita haruslah berfikiran secara terbuka, menjadi bijak dalam menentukan suatu keputusan. Jangan kerana tawaran harga yang murah maka kita menjadi gelap mata dan terus membuat keputusan untuk mengambil pakej tersebut yang ternyata ianya hanyalah tipu daya semata – mata. Sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang bijak ialah orang yang boleh menahan nafsunya dan beramal untuk kematian, dan orang yang lemah ialah orang orang yang menuruti hawa nafsunya dan selalu berangan- angan (mengharapkan syurga) terhadap Allah.” (HR At – Tirmidzi).
Maka dari itu, berwaspadalah! Ambillah ibrah (pengajaran) daripada insiden – insiden sebelum ini. Jangan kita mudah terperdaya dengan sindiket penipuan ini sebaliknya buatlah kaji selidik tentang latar belakang syarikat yang dilantik dan sejarah pengurusannya sebelum ini. Jangan kerana tawaran murah, kita terus sahaja bersetuju kerana ia mungkin satu perangkap untuk menganiayai kita.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment