Semua manusia mahukan sebuah perkahwinan yang bahagia hingga ke jannah. Akan tetapi, tidak semua faham apa itu kebahagiaan dalam berumah tangga. Mutakhir ini kita banyak dikejutkan dengan pelbagai kisah rumah tangga tragis dan pilu tidak kurang kisah kontroversi pasca berlakunya perceraian. Media sosial menjadi medium membongkar kisah dalam kain dan dipertontonkan dengan bangganya ke seluruh pelosok alam.
Umum mengetahui, alam perkahwinan adalah antara fasa dalam kehidupan manusia. Ia menjadi impian bagi setiap insan, terutama bagi memperoleh pasangan yang soleh dan bertanggungjawab. Ini disebabkan matlamat utama sebuah perkahwinan adalah bagi merealisasikan kehidupan sakinah (tenang), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah. Apakah kita faham tentang konsep berkenaan?
• Sakinah (tenang): Menciptakan suasana rumah yang damai, aman, dan nyaman bagi seluruh anggota keluarga. Ini melibatkan perasaan tenang, tidak ada konflik berpanjangan dan saling menghargai.
• Mawaddah (kasih sayang): Rasa cinta, kasih sayang dan kelembutan antara suami dan isteri. Mawaddah itu termasuk juga dalam hal saling memahami, menghormati dan mendukung antara satu sama lain.
• Rahmah (rahmat): Rasa kasih sayang yang mendalam, belas kasihan, dan rasa tanggungjawab sesama anggota keluarga. Rahmah mendorong anggota keluarga untuk saling membantu, memaafkan dan menjaga antara satu sama lain terutamanya ketika dalam waktu yang sukar.
Perkara pertama dalam perkahwinan iaitu pembetulan niat, iaitu mencari keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” (QS Al – Rum: 21).
Dalam hukum Islam, ada satu istilah yang penting dan sering dikaitkan dengan perkahwinan, iaitu qiwamah. Istilah ini ditafsirkan secara literalnya bererti pemimpin. Ia adalah suatu konsep yang bermaksud kepimpinan, perlindungan dan penyedia nafkah seorang lelaki terhadap wanita dalam konteks rumah tangga. Allah SWT berfirman:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita…” (QS An – Nisa’: 34).
Manakala bagi seorang isteri, tanggungjawab yang mereka wajib lakukan adalah dengan mentaati suami, menjaga maruah diri dan keluarga, menguruskan rumah tangga, menjadi sistem dokongan terkuat kepada suami, bijak berkomunikasi dan berakhlak baik serta mempunyai sifat qanaah (sifat cukup dan puas). Natijahnya, jadilah rumahtangga idaman iaitu “Baiti Jannati” (Rumahku Syurgaku). Rasulullah SAW bersabda:
“Jika aku boleh perintahkan seseorang sujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya.” (HR Abu Daud).
Perkahwinan ini bukan sekadar ihsan untuk meraih kebahagiaan, tetapi juga untuk ketenangan jiwa dan saling memberi sokongan di antara satu sama lain. Bagi mewujudkan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah ini memerlukan usaha dari kedua belah pihak iaitu suami dan isteri. Hal ini melibatkan komunikasi yang baik, saling memahami, sentiasa bersabar dan memerlukan komitmen yang tinggi untuk menjaga keharmonian keluarga.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment