RUNTUH AKIDAH, JATUH AGAMA ISLAM, JIKA TAMPUK KEPIMPINAN DIBELENGGU LIBERALISME


Sejarah membuktikan perkembangan kemajuan dan perubahan norma tertentu yang berlaku di dunia Barat turut mempengaruhi dunia Islam. Barat dianggap sebagai simbol gaya hidup zaman moden, juga pejuang hak dan kebebasan manusia. Apabila berhadapan dengan dua fenomena di atas, sikap umat Islam terbahagi kepada dua iaitu kelompok yang berpendapat agama adalah faktor penghalang bagi mencapai kemajuan dan kelompok yang membela Islam berpandangan ideologi liberalisme ini perlu diperangi habis-habisan.

Bagi golongan yang membela ideologi liberalisme, Islam perlu dipisahkan daripada kehidupan seharian jika ingin maju. Kelompok ini mengikut bulat-bulat acuan Barat dan secara terang menolak agama.

Sedangkan kelompok yang membela Islam merasakan golongan liberal perlu diperangi kerana mereka mahu kebebasan berijtihad dan menolak autoriti agama (ulama) yang boleh merosakkan akidah dan kemurnian agama Islam. Jika ini berlaku, kepercayaan terhadap tradisi keilmuan Islam akan hilang. Ia mencetuskan kekeliruan dan kejahilan terhadap Islam yang akhirnya menyebabkan hilangnya kepercayaan kepada tokoh-tokoh Islam.

Liberal juga mencabar kewibawaan sumber hukum yang disepakati, iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma dan Qiyas. Lebih dahsyat, golongan liberal percaya bahawa al-Quran perlu ditafsir semula agar bersesuaian dengan zaman serba moden ini, termasuk mentafsir semula hukum. Ancaman lain liberal ialah menggunakan asas dan fahaman menyeleweng, pincang dan tidak sesuai dalam menetapkan hukum Islam. Aliran liberal ini meletakkan beberapa asas dan sandaran pemikiran tertentu yang mempengaruhi sepenuhnya metodologi mereka menentukan hukum Islam.

Namun, apa yang dapat diperhatikan ketika ini, nampaknya tampuk pembuat dasar yang berijtihad menentukan hukum dan pemerintahan yang mempunyai autoriti khas tidak selari dan sependapat dalam sesuatu isu dalam menentukan hukum-hukum yang berkaitan dengan agama Islam. Apakah mereka juga sudah dipengaruhi oleh fahaman liberalisme yang ingin memberi kebebasan kepada individu dalam memilih jalan beragama yang sesuai dengan kumpulan tertentu? 

Sebagai contoh, peningkatan pesta atau upacara yang mengetengahkan konsep LGBT, peningkatan kes mencabar peruntukan undang-undang syariah, peningkatan kes mempertikaikan kedaulatan agama dan hak orang Islam, peningkatan kes menghina Islam, peningkatan jumlah orang Islam murtad, berfikiran ateis dan sebagainya. 

Bukankah peningkatan isu-isu tersebut menggambarkan bahawa pemimpin gagal untuk membendung ancaman liberalisme atau memimpin berasaskan ideologi liberalisme kononnya demi mencapai kemajuan? Renung-renungkan.

Sumber: Ketua Penyelidik di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), badan pemikir bebas sosio media-politik

Comments