222 PELAJAR IPT POSITIF HIV TAHUN LALU - JAUHI DIRI DARI MAKSIAT DAN HUBUNGAN BEBAS!


وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭا

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS Al – Isra’ : 32).

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seramai 1,091 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) direkodkan menghidap penyakit HIV bagi tempoh 2020 hingga 2024 dengan 222 kes baharu direkodkan tahun lalu. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata lebih membimbangkan, majoriti kes membabitkan remaja usia 18 dan 19 tahun, sekali gus menunjukkan pendedahan awal terhadap aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Kelihatan agak mengerikan bukan? Inilah bahana yang terpaksa ditanggung oleh manusia akibat terlalu leka dengan duniawi yang semakin kian hampir ke penghujungnya. Pergaulan bebas adalah satu penyakit yang melanda umat manusia pada hari ini. Pada zaman pasca moden modenisasi ini pergaulan bebas tidak lagi menjadi kudis pada pandangan masyarakat. Malahan ia dilihat seakan sebuah trend masa kini termasuk kepada umat Islam.

Kesannya? Lihat sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh KKM. Syariat Islam menetapkan batasan dan sempadan yang mesti dipatuhi agar tidak mengundang fitnah pada kemudian hari. Pergaulan antara perempuan dan lelaki yang tidak mempunyai hubungan dari segi syarak (ajnabi) diharuskan kerana situasi darurat, hajat atau keperluan yang dibenarkan oleh syarak dan kebiasaan adat setempat. Firman Allah SWT:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (QS An – Nur: 30 – 31).

Ingat, jagalah diri dan jangan terlibat dengan maksiat serta pergaulan bebas, kelak ia akan memakan diri sendiri di kemudian hari. Pergaulan bebas memberi banyak kesan negatif kepada semua sama ada Muslim mahupun yang bukan Muslim. Jangan kita terlalu mengagungkan budaya barat atas nama modenisasi. Kita masih mempunyai pegangan terhadap al – Quran dan As – Sunnah yang menjadi panduan kepada hidup kita. Jika tidak dibendung perbuatan ini, nescaya ia akan membentuk masyarakat yang tidak berakhlak dan bermoral.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments