Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) adalah pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia, bahkan ianya telah ditetapkan sebagai pegangan rasmi umat Islam di negara ini berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Hal ini bermaksud, dari sudut akidah dan tauhid mengikut manhaj Imam Abu Hasan al-Ash’ari, Imam Mansur al-Maturudi, ulama al-Asha’irah dan al-Maturudiah. Dari sudut syariah dan fikah, sesuatu hukum ditentukan berdasarkan pegangan mazhab Imam al-Shafie atau dalam keadaan tertentu boleh merujuk kepada Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali atau ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa. Manakala dari sudut akhlak dan tasawuf, aliran ASWJ mengikut manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar.
Oleh sebab itu, penafsiran terhadap takrifan ASWJ perlulah jelas dan difahami umat Islam di Malaysia khususnya bagi memastikan ianya tidak digunakan oleh kelompok lain. Ajaran seperti Syiah, al-Arqam, Hizbut Tahrir, liberalisme, pluralisme agama dan seumpamanya adalah jelas menyimpang daripada pegangan ASWJ. Mereka mungkin mendakwa termasuk dalam kelompok ASWJ, hakikatnya mereka menolak prinsip-prinsip utama yang dipersetujui oleh jumhur ulama ASWJ sepanjang zaman.
ASWJ bukanlah kelompok ekstrem serta ulama ASWJ cukup berhati-hati dalam isu takfiri. Justeru itu, buangkan keraguan, tetaplah berpegang teguh pada akidah ASWJ kerana ianya berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah serta menjamin dari kesesatan.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment