ANAK BUKAN SEKADAR ANUGERAH TETAPI AMANAH DARIPADA ALLAH SWT


Anak adalah hadiah dan amanah Allah SWT kepada setiap hambaNya yang sudah berumah tangga. Boleh dikatakan setiap pasangan suami isteri ingin memiliki cahayamata hasil daripada perkahwinan mereka. Hal ini kerana melalui kelahiran cahaya mata ia akan menambah erat kasih sayang antara suami isteri. Setiap anak yang dilahirkan juga membawa makna rezeki yang baik untuk manusia. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar." (QS Al – Taghabun: 15).

Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR Bukhari).

Walau bagaimana pun, sejak kebelakangan ini sering kali kita terdengar berita tragedi yang menyayat hati tentang anak – anak. Namun, siapalah kita untuk menolak takdir Allah SWT akan perkara yang terjadi. Tetapi sebagai manusia dewasa, kita sudah diberikan akal dan fikiran oleh Allah SWT untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Keselamatan anak merupakan tanggungjawab utama buat para ibu bapa selain memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara.  Ini melibatkan perlindungan fizikal, mental, dan spiritual anak-anak, serta mendidik mereka untuk menjadi individu yang bertakwa. Sabda Rasulullah SAW:

“Kamu semua adalah penjaga (pemimpin). Dan kamu semua bertanggungjawab terhadap penjagaan (orang yang dipimpin).” (HR Bukhari dan Muslim).

Dalam konteks melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan anak-anak, maka termasuk juga keperluan menjaga dan mengurus risiko-risiko atau jalan-jalan yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak. Ini membawa maksud jika situasi tertentu yang pada asalnya nampak selamat kepada keselamatan kanak-kanak tetapi ada ruang yang boleh menjadi sebaliknya maka situasi ini juga perlu dihindari oleh ibu bapa. 

Islam menuntut umatnya agar menunaikan hak kanak – kanak. Hak yang perlu disempurnakan dan diberikan kepada mereka merangkumi semua aspek. Maka dari itu, mari kita sama – sama memperbaiki diri dalam soal aspek keselamatan kepada kanak – kanak. Awasilah anak kita agar kita tidak menangis di kemudian harinya.

Sumber: Insititut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments