Tular dalam sehari dua ini berkenaan dengan akaun – akaun media sosial yang menawarkan penjualan barangan parcel yang tidak dituntut dalam jangka waktu yang lama tetapi di dalam bentuk guni. Maknanya di sini harga mengikut kepada kebesaran guni yang digunakan, ada yang harga yang dibuka serendah RM100 hingga mampu mencecah RM1000. Sebenarnya, perbuatan ini sama konsep seperti jual beli ‘mystery box’ yang sebelum ini pernah diperbincangkan.
Jual beli sebegini tidak diharuskan dan terbatal di sisi syarak kerana tidak menepati rukun dan syarat asas jual beli iaitu barang jualan mestilah diketahui dan ditentukan jenis barangannya secara spesifik yang diterima uruf. Secara asasnya, bagi menentukan sesuatu jual beli atau perniagaan itu diterima oleh Syarak, ia hendaklah menepati dan memenuhi rukun dan syarat asas yang ditetapkan oleh syarak. Rukun – rukun jual beli adalah:
• Pihak yang melakukan akad (Penjual dan Pembeli)
• Sighah Akad (Ijab dan Qabul)
• Barang jualan dan harganya
Pada dasarnya, jual beli barangan yang tidak spesifik mengandungi unsur gharar yang diharamkan dalam Islam berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan).” (HR Muslim).
Jual beli seperti ini mempunyai unsur perjudian kerana bergantung kepada nasib semata-mata. Konsep yang diketengahkan menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendaki dan disukainya setimpal dengan harga yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan).
Oleh itu, sudah terang lagi nyata bahawa penjualan guni parcel ini adalah tidak sah dan terbatal. Apa yang perlu dilakukan oleh individu yang sudah terlanjur membeli? Mereka perlu menyerahkan semula barangan kepada penjual dan penjual hendaklah memulangkan semula wang yang diterima. Sekiranya berlaku kesukaran dalam pemulangan barangan kerana telah digunakan atau sebagainya, maka dicadangkan kepada kedua-dua pihak membuat akad jual beli yang baru dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut dan penjual juga meredai dengan nilai bayaran yang diterima.
Pengajarannya, umat Islam dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada terpedaya dengan sebarang jenis perniagaan yang mengandungi keraguan yang nyata walaupun dikhabarkan akan mendapat sesuatu yang lumayan kerana perbuatan tersebut boleh mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam perkara yang dilarang dan ditegah oleh syarak. Belilah barangan dengan tepat dan dengan akad yang sewajarnya agar tidak tercampur dengan darah daging kita.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment