ATEIS: API DALAM SEKAM UMAT ISLAM MENOLAK TUHAN MERUNTUHKAN JIWA


Perbahasan mengenai ateisme telah lama diketengahkan oleh pelbagai pihak, dari pemikir klasik hingga pemikir kontemporari. Namun, isu ini belum mencapai titik noktah. Menurut kajian Global Index of Religiosity and Atheism, bilangan penganut ateisme dilihat semakin bertambah dan berkembang di seluruh dunia.

Di Malaysia, perbincangan mengenai ancaman ateisme masih kurang diberikan perhatian. Terdapat pula segelintir pihak, khususnya beraliran liberal, yang membantah usaha membanteras fahaman ini dengan alasan kononnya ia berkaitan dengan kebebasan beragama.

Menurut laporan kajian yang sama, penganut agama Islam dan Hindu adalah yang paling mudah terpengaruh dengan fahaman ateisme – masing-masing mencatatkan peratusan sebanyak 3%, diikuti oleh Yahudi (2%), Katolik (1%), dan Protestan (1%). Kajian juga menunjukkan bahawa mereka yang berpendidikan tinggi dan berpendapatan tinggi merupakan penyumbang utama kepada peningkatan angka ateis ini.

Meskipun bilangan ateis di Malaysia masih kecil, namun ia tetap merupakan ancaman besar terhadap akidah umat Islam. Lebih membimbangkan apabila golongan muda yang lemah asas agama dan terdedah kepada fahaman liberalisme Barat mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang menolak kewujudan Tuhan.

Justeru itu, usaha memantapkan akidah umat Islam amat penting. Peranan institusi keluarga perlu diperkasa dalam menerapkan prinsip dan nilai-nilai Islam kepada anak-anak. Institusi perkahwinan juga wajar dijadikan medan untuk membentuk keluarga berteraskan akidah dan syariah yang kukuh.

Langkah ini penting sebagai benteng awal bagi membanteras penyebaran fahaman ateisme dan melindungi masyarakat Islam daripada keruntuhan akidah.

Sumber:
Jurnal Aqidah dan Filsafat – Universiti Islam Negeri Sunan Kalijaga, Yogyakarta


 

Comments