Islam tidak menentang kebebasan bersuara atau meluahkan perasaan. Islam mendukung konsep kebebasan sebagai hak dan prinsip politik yang mesti dihormati, namun kebebasan tidak boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.
Islam hanya boleh menerima prinsip kebebasan tidak melampaui batas dan tidak boleh sesekali meraikan kebebasan yang melampaui batas kerana kebebasan seperti itu akan menimbulkan masalah besar kepada masyarakat.
Sebagai contoh, baru-baru ini trending di aplikasi twitter Malaysia berkenaan sebuah drama bersiri bertemakan gay berjudul ‘Reset’ yang ditayangkan oleh negara seberang, Thailand. Jalan cerita yang berkisar berkenaan ‘boy lover’ itu mendapat sambutan di luar jangkaan di Malaysia dengan mencatatkan sebanyak 37.2 juta ‘post’ diandaikan bahawa adakah perbuatan songsang itu semakin diterima di dalam masyarakat Malaysia? Dari sudut syariat, sudah tentu ianya melanggar prinsip kebebasan yang telah digariskan dan dikategorikan sebagai melampaui batas. Namun, pada masa yang sama perbuatan mahupun fenomena yang menyokong LGBT ini turut bertentangan dengan prinsip kebebasan yang digariskan perlembagaan negara.
Fenomena LGBT ini secara tidak langsung telah mempromosikan seks bebas, mewajarkan maksiat dan kemungkaran pada masyarakat awam. Tidak dinafikan juga, fenomena LGBT yang cuba dinormalisasikan di Malaysia memperlihatkan bahawa berlakunya penyuburan ideologi liberalisme secara tidak sedar khususnya dalam kalangan anak muda Islam.
Pihak kerajaan atau pemerintah seharusnya menyekat perkara-perkara ini kerana adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memelihara agama rakyat lebih-lebih lagi apabila Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia. Hal ini bertepatan dengan prinsip 'sadd al-zara’i’ dalam hukum Islam bertujuan menutup pintu-pintu yang boleh membawa kerosakan besar kepada masyarakat. Jangan gentar untuk diambil tindakan terhadap perkara-perkara seperti ini kerana bala Allah SWT tidak mengenal sesiapa. Masing-masing perlu memainkan peranan untuk mengajak ke arah kebaikan dan menasihat untuk meninggalkan kemungkaran, namun biarlah dengan penuh hikmah.
Sumber: Jurnal Wacana Sarjana, Vol.3(4)- Universiti Kebangsaan Malaysia
Comments
Post a Comment