Daesh atau kini lebih dikenali dengan nama Islamic State (IS), adalah sebuah organisasi militan bersenjata yang radikal. Ideloginya yang berasaskan agama telah menyebabkan segelintir besar golongan muda dalam jihad global atau Global Islamisme seluruh dunia bersatu dan bersedia menggadaikan nyawa kononnya demi jihad mempertahankan Islam.
Ideologi Silafi Jihadi yang ekstrem berkenaan konsep tauhid dan jihad adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersifat wasatiyah (sederhana). Disebabkan fenomena ini turut melibatkan segelintir besar umat Islam di Malaysia suatu ketika dahulu, maka IS telah dianggap sebagai satu ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara. Malah bukan sahaja di Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut melabelkan IS sebagai sebuah organisasi pengganas dan ideologinya adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.
Pelbagai usaha dan tindakan telah dilakukan oleh banyak pihak yang terlibat dengan usaha untuk melawan naratif serta propaganda IS. Memahami naratif-naratif IS adalah perkara yang amat penting kerana inilah punca yang menyebabkan masih ada segelintir umat Islam cenderung menyokong atau bersimpati dengan perjuangan IS. Malah disebabkan ketidakfahaman serta kekeliruan umat Islam tentang naratif IS menyebabkan mereka menganggap perjuangan IS untuk menegakkan Khilafah Islamiyah itu sebagai satu tuntutan agama tanpa menyedari bahawa agama Islam hanyalah dijadikan sebagai alat untuk meraih sokongan, merekrut pengikut, menggalakkan umat Islam berhijrah ke Khilafah Islamiyah ciptaan mereka dan seterusnya mewajibkan umat Islam berbai’ah kepada Abu Bakar al- Baghdadi selaku Khalifah bagi seluruh umat Islam di dunia.
Contoh kejadian terkini, 27 JUN 2025, seramai 36 orang Bangladesh di Malaysia telah ditangkap kerana didapati terlibat dalam gerakan militan berasaskan ideologi IS dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan sah di negara asal mereka. Bagi merealisasikan tujuan tersebut, mereka dipercayai menyebarkan fahaman pelampau dalam komuniti mereka, menubuhkan sel rekrut dan mengumpul dana di sekitar Selangor dan Johor Bharu.
Meskipun setakat ini tidak ada khabar ianya melibatkan warganegara Malaysia, namun Malaysia turut terancam kerana tindakan warga Bangladesh berideologi IS tersebut dianggap cuba menjadikan Malaysia sebagai pusat pangkalan operasi militan, pangkalan rekrut, pusat transit atau perlindungan sebelum menjalankan misi mereka di negara asal. ‘
Justeru itu, umat Islam khususnya perlu fahami bahawa IS sebenarnya tidak ada kaitan dengan Islam. Ianya lebih bersifat politik. Agama hanya digunakan sebagai alat untuk memanipulasikan pemikiran umat Islam kononnya untuk berjihad, sedangkan mereka mahu meraih kuasa dan autoriti untuk memerintah. IS telah membawa ideologi ‘exclusivism’ yang meyakini bahawa mereka adalah kumpulan yang dipilih Allah SWT untuk menyelamatkan manusia. Hakikatnya, mereka telah membawa banyak kerosakan kepada agama dan umat Islam seperti yang diakui oleh Muhammad al-Maqsidi, mentor kepada Abu Mus’ab al-Zarqawi, pemimpin al-Qaeda di Iraq. Renung-renungkan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia- JUN 2025, astroawani.com – 27 JUN 2025, Garis Panduan pencegahan fahaman Ekstremisme & Radikalisme dalam Angkatan Tentera Malaysia
Comments
Post a Comment