Masih lagi kita dalam bulan Muharram. Bulan yang diberkati Allah SWT dan bulan penghijrahan. Namun, sejauh mana kita benar-benar menghayati makna hijrah dalam konteks kehidupan hari ini? Adakah ia sekadar catatan sejarah yang dirai secara ritual atau prinsip perubahan yang wajar terus hidup dalam diri setiap Muslim? Asas utama kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah masyarakat berkait rapat dengan nilai peradaban yang menjadi budaya serta amalan hidup setiap warganya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Al – Baqarah: 218).
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rahmah (dalam bahasa Arab) atau rahmat bermaksud belas kasihan, kurnia, berkat, bahagia, kelebihan, hikmah, faedah dan kegunaan. Menurut Imam al-Raghib al-Isfahani dalam kitab Mufradat Alfadz al-Quran mendefinisikan rahmah sebagai kelembutan yang menuntut berbuat baik kepada yang disayangi. Di dalam perkataan rahmah diulang sebanyak 64 kali manakala perkataan tersebut dan kata-kata terbitannya diulang sebanyak 327 kali.
Namun, apa yang lebih utama kepada kita pada hari ini adalah penghijrahan ke arah masyarakat rahmah. Dalam dunia yang semakin terpolarisasi oleh perbezaan fahaman politik, kaum dan agama, semangat hijrah mengajak kita kembali kepada nilai ukhuwah, toleransi dan ihsan. Ingat bahawa Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah, mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar membina perpaduan walau berbeza latar belakang. Kita juga mesti berhijrah daripada budaya menghakimi kepada budaya memahami. Daripada permusuhan kepada perdamaian. Allah SWT berfirman:
"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (QS Al – Hujrat: 10).
Nilai ihsan di dalam masyarakat perlu dibangunkan semula kerana apabila kita berbuat ihsan dalam kehidupan akan membangkitkan rasa cinta, persaudaraan, saling menyayangi, tolong-menolong, bertolak ansur serta kesepaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama. Allah SWT menjanjikan ganjaran kepada golongan yang berbuat ihsan sebagaimana firman-Nya dalam Surah ar-Rahman ayat 60 yang bermaksud:
"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?"
Ajaran Islam menganjurkan supaya umat manusia hidup secara muafakat, bekerjasama dan berkasih sayang. Maka dari itu, marilah kita beriltizam sempena bulan Muharram ini untuk menterjemahkan nilai ihsan, rahmah dan hormat dalam kalangan manusia di sekeliling kita bermula dari keluarga hingga ke masyarakat setempat. Ayuh sama – sama kita menyemai sifat ihsan, rahmah dan hormat dalam kehidupan bermasyarakat supaya lahir sebuah kelompok umat manusia yang penuh dengan adab dan tatasusila yang tinggi.
Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
Comments
Post a Comment