Sememangnya sudah menjadi lumrah dan fitrah manusia mempunyai pelbagai respon. Ada kalanya kita gembira, ada kalanya kita bersedih, marah, bimbang, kecewa dan bermacam – macam lagi. Namun, ia bukanlah jalan untuk kita menzahirkan emosi kita secara keterlaluan. Di mana – mana negara di pelosok dunia sudah semestinya ada di kalangan kita yang menzahirkan rasa marah dan kecewa lalu ianya di bawa ke jalanan sebagai pertunjukan protes. Ini termasuklah di negara kita, Malaysia.
Secara zahirnya, demonstrasi itu dilihat sebagai “wira” kepada segala bentuk ketidakpuasan hati kepada pihak yang memprovok kerana kononnya berani melawan dan menegakkan kebenaran. Namun dari sudut agama Islam, ia dilihat sebagai satu tingkah laku yang kurang baik malah ia boleh menjejaskan keamanan dan ekonomi negara secara langsung. Walaupun demonstrasi untuk meluahkan perasaan boleh dilakukan untuk menyatakan tuntutan yang dibenarkan oleh syarak, tetapi adakah kita mahu menyusahkan ramai pihak termasuk kepimpinan negara? Firman Allah SWT:
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS An – Nisa: 148).
Budaya demonstrasi tunjuk perasaan pada hari ini datang daripada kafir Barat dan ia mempunyai titik-titik persamaan yang jelas dengan fahaman Khawarij yang dalam sejarah Islam bermula dengan pemberontakan terhadap Khalifah Othman RA sehingga menyebabkan beliau terbunuh. Walau apa sekalipun tujuan dan alasannya, mengadakan demonstrasi jalanan tetap salah dan bercanggah dengan syariat kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Demonstrasi tunjuk perasaan tidak pernah menyelesaikan masalah, bahkan ia lebih mendatangkan kerumitan kepada keadaan dan mencetuskan huru – hara.
Jadilah seorang Muslim yang cintakan kedamaian. Janganlah kita saling mencetuskan provokasi di antara satu sama lain. Kelak ia akan mendatangkan kerugian kepada agama, bangsa dan negara. Rasulullah SAW bersabda:
"Orang Muslim itu adalah seorang yang dapat memelihara lidah dan tangannya daripada menyakiti orang lain." (HR Ahmad).
Islam adalah agama Ad – Din iaitu yang amat menitikberatkan aspek kedamaian. Perlu ditegaskan bahawa kedamaian dan kesejahteraan yang diimpikan itu hanya akan tercipta jika Islam difahami, dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam setiap aspek kehidupan manusia.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment