Tasamuh dalam Islam bermaksud sikap toleransi, berlapang dada dan menghormati perbezaan. Ia bukan bermaksud mencampuradukkan akidah, tetapi menuntut umat Islam agar menghargai kepelbagaian dan mengekalkan hubungan yang adil dan sejahtera dengan semua lapisan masyarakat.
Firman Allah SWT:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.”
(Surah al-Hujurat: 13)
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, tasamuh ialah asas penting bagi mewujudkan keharmonian. Ia mengajar kita untuk:
1) Mengelakkan prasangka buruk.
2) Menghormati hak dan kepercayaan orang lain.
3) Bersikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya.
Namun, tasamuh tidak bermakna berkompromi terhadap prinsip akidah atau nilai Islam. Sebaliknya, ia bermaksud mengiktiraf hak orang lain untuk berpegang kepada kepercayaan masing-masing, selagi ia tidak mengganggu ketenteraman atau menimbulkan permusuhan.
Kehidupan yang damai tidak boleh dibentuk hanya melalui dasar kerajaan atau slogan perpaduan. Ia harus dibina dari bawah bermula dengan hubungan kejiranan yang harmoni, komunikasi yang jujur, pengamalan nilai murni seperti adil, sabar dan empati.
Sabda Rasulullah SAW:
“Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan balaslah keburukan dengan kebaikan, serta berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik.”
(HR At-Tirmidzi)
Islam meletakkan keadilan sebagai asas hubungan antara umat Islam dan bukan Islam. Perbezaan agama tidak menjadi alasan untuk berlaku zalim atau menafikan hak sesama manusia.
Firman Allah SWT:
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Mumtahanah: 8)
Kesimpulannya, Tasamuh ialah asas kemanusiaan dan keharmonian. Ia tidak melemahkan umat Islam, bahkan menjadikan kita lebih matang dalam berinteraksi dengan masyarakat yang berbeza latar belakang. Dengan sikap tasamuh, keadilan dan empati, Malaysia akan terus menjadi negara aman, dihormati dan stabil, selari dengan tuntutan Islam dan fitrah manusia sejagat.
Comments
Post a Comment