HUKUM DEMONSTRASI JALANAN MENGHINDARI KEMUDARATAN ADALAH LEBIH BAIK DEMI KEHARMONIAN MASYARAKAT DI NEGARA INI


Berikutan ketidakpuasan hati terhadap pimpinan tampuk pemerintahan terkini, beberapa siri demonstrasi jalanan akan dilakukan di seluruh negara oleh pihak-pihak pembangkang yang terlibat. Demonstrasi jalanan ini dianjurkan bertujuan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dan sebagai tanda membantah terhadap pendirian dan pentadbiran kerajaan terkini. 

Namun, adakah rakyat boleh menyahut seruan untuk menentang kerajaan itu dan apakah hukum menyertai demonstrasi jalanan tersebut? 

Ulama kontemporari telah berijtihad dan Majlis Fatwa telah menetapkan bahawa sebarang perhimpunan atau demonstrasi berunsurkan hasutan adalah haram. Syeikh Abdul Aziz, mantan Mufti Besar Arab Saudi telah menasihatkan kepada para ulama dan para pendakwah serta pendokong kebenaran supaya menghindari sebarang bentuk demonstrasi dan protes di jalan-jalan raya. Perbuatan ini disifatkan sebagai tidak memberi manfaat. Bahkan ianya lebih memberi kemudaratan seperti berlakunya perpecahan kepada orang Islam sendiri dan mengancam keselamatan negara. 

Memperbaiki kerosakan tidak semestinya dengan melakukan demonstrasi. Perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah dan memecahbelahkan masyarakat. Oleh sebab itu ia diharamkan kerana Islam tidak mengajar untuk mencari kemaslahatan dalam masa yang sama menimbulkan kerosakan. Boleh jadi di dalamnya akan berlaku pencerobohan. Maka berdemonstrasi merupakan perkara yang dilarang sama ada dibenarkan oleh pemerintah atau tidak.

Justeru itu, seruan pembangkang untuk menyertai demonstrasi jalanan tersebut seharusnya ditolak. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu taat kepada pemerintah sebagaimana Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Seorang muslim perlu mendengarkan dan mematuhi perintah, yang disukainya dan tidak disukainya, selama tidak disuruh mengerjakan maksiat (kejahatan). Tetapi apabila dia disuruh mengerjakan maksiat, tidak boleh didengar dan ditaati.” (HR. Bukhari).

Prinsip ketaatan ini adalah demi menjaga kelangsungan sistem sosial dan demi mengelakkan berlakunya rusuhan yang akhirnya akan mengancam keselamatan negara. Seharusnya rakyat Malaysia atau ahli-ahli politik lebih bersolidariti dan bersuara terhadap isu penghinaan Islam kerana agama yang dipertaruhkan, namun sangat menyedihkan apabila berkaitan dengan kepentingan diri dan parti, perkara lain yang difokuskan sehingga menghasut masyarakat untuk berdemonstrasi secara haram.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments