Baru-baru ini, masyarakat Islam di Malaysia dikejutkan dengan video tular dari sebuah majlis keagamaan di Kedah, di mana sekumpulan individu berselawat sambil berlatar muzik ‘remix’ lagu Barat iaitu ‘Levitating’ oleh Dua Lipa, serta muzik ‘Bollywood’. Majlis ini berlangsung di Masjid Al-Busyra, Merbok dalam satu program dinamakan Malam Sejuta Selawat.
Walaupun niat menganjurkan majlis selawat itu murni, pendekatan yang digunakan mengundang kecaman masyarakat Islam. Ramai menyifatkan gabungan selawat dan muzik pop tersebut sebagai mencemarkan kesucian ibadah serta menjatuhkan imej institusi Islam.
Apa hukumnya?
Dari perspektif syarak, hukum berselawat adalah sunnah muakkad iaitu amat digalakkan dan mendapat pahala besar. Namun, cara dan adab dalam menyampaikan selawat juga penting dan tidak boleh diabaikan.
Muzakarah Fatwa Kebangsaan serta pandangan rasmi dari Jabatan Mufti Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menjelaskan bahawa:
- Diharuskan berselawat dan berzikir dengan iringan alat muzik tertentu (seperti kompang) jika tidak melalaikan, dan dilakukan di luar masjid.
- Namun, selawat atau zikir yang diiringi muzik moden seperti lagu pop, ‘remix’, atau lagu berunsur hiburan (contohnya lagu Dua Lipa), adalah tidak dibenarkan, apatah lagi jika dilakukan di dalam masjid.
Hal ini kerana muzik tersebut melalaikan dan tidak sesuai dengan roh ibadah, ia boleh menimbulkan fitnah dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, serta mencemarkan kesucian masjid sebagai rumah ibadah.
Ibadah bukan sekadar pada niat, tetapi juga pada tatacara pelaksanaan yang menepati syariat. Dalam usaha mendekatkan masyarakat kepada agama, pendekatan kontemporari boleh digunakan, tetapi bukan dengan menggadaikan adab ibadah. Kesucian selawat, nama Rasulullah SAW dan institusi masjid perlu dijaga dengan penuh hormat dan ketundukan. Islam itu indah, tapi tidak pernah menyarankan pendekatan yang mencampur aduk antara yang hak dan batil.
Kesimpulannya, selawat atau zikir adalah Sunnah dan digalakkan, tetapi perlulah berhati-hati dengan cara pelaksanaannya. Iringan muzik yang tidak bersesuaian, terutamanya dalam majlis agama dan di tempat suci boleh menjauhkan nilai sebenar ibadah tersebut. Justeru itu, marilah kita kembali kepada asas dengan menjaga adab, adil dan akidah dalam setiap amal kita.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke-318, Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Comments
Post a Comment