Hukum menziarahi kubur bagi umat Islam adalah sunat bagi lelaki dan makruh kepada wanita mengikut mazhab jumhur ulama. Namun sebagai umat Islam, tujuan kita menziarahi kubur itu adalah untuk memberi kesedaran bahawa satu hari nanti kita juga akan dikembalikan ke tempat asal kita. Ini seperti firman Allah SWT:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.” (QS Ali ‘Imran: 185).
Akan tetapi, apa yang menyedihkan pada hari ini adalah kelakuan dan adab kita semasa menziarahi kawasan perkuburan. Masyarakat pada hari ini seakan sudah tidak ada adab dan akhlak ketika menziarahi tanah perkuburan malah lebih teruk ada yang melakukan amalan khurafat. Ini seperti yang terjadi pada kubur salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman yang menjadi sasaran sesetengah pihak yang begitu taksub dengan cerita – cerita berkenaan dengan Allahyarhamah. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengambil tanah kuburnya untuk dibawa pulang sebagai azimat dan ada juga yang dilumurkan ke muka ahli keluarga kononnya bagi memperoleh “keberkatan”. Nauzubillahiminzalik!!
Seharusnya pemergian Allahyarhamah ini memberi pengajaran kepada kita sebagai umat Islam untuk lebih dekatkan diri kepada Maha Pencipta kerana kematian tidak mengira waktu dan mengenal usia. Malah perkara ini mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar yang meminta umat Islam di negara ini supaya menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia, menghormati kawasan perkuburan dan tidak menjadikannya tempat mencari keberkatan mahupun populariti.
Tambah beliau lagi, umat Islam sebaliknya digalakkan untuk menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian, menambah keinsafan dan mendoakan kesejahteraan roh si mati dan bukannya dengan tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat. Antara adab menziarahi kubur yang perlu kita ketahui adalah:
1) Berpakaian menutup aurat.
2) Digalakkan berada dalam keadaan berwudhuk.
3) Disunatkan memberi salam secara umum kepada sekalian ahli kubur ketika masuk ke kawasan tanah perkuburan dan mendoakan semoga rahmat dan kesejahteraan ke atas mereka.
4) Disunatkan memberi salam secara khusus kepada ahli kubur yang diziarahi dalam keadaan berdiri rapat di tepi kuburnya dan menghadap ke arah muka jenazah serta membelakangkan kiblat.
5) Disunatkan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati.
6) Disunatkan berdoa kepada si mati menghadap ke arah kiblat.
7) Digalakkan menyebut kebaikan si mati dan bukan keburukannya.
Oleh itu, umat Islam dinasihatkan untuk berhati – hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat. Tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, jika disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat. Jagalah akhlak dan adab di tanah perkuburan dan hormatilah si mati dan ahli keluarganya serta jangan sesekali kita taksub.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment