JAGALAH SILATURAHIM SEERATNYA - PENGADU DOMBA TIDAK AKAN MASUK SYURGA

 


Namimah atau perihal mengadu domba termasuk dalam kategori dosa besar. Ramai di kalangan kita hari ini mengamalkan sikap mengadu domba demi kepuasan hati sendiri tanpa memikirkan risiko yang ditanggung kemudian hari. Apabila adanya individu berperangai ‘batu api’, pastinya ia akan menyebabkan banyak pihak terluka dan bersengketa. Firman Allah SWT:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” (QS Al – Ahzaab: 58).

Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin menyatakan, membocorkan rahsia orang lain serta menjejaskan kehormatan diri orang itu dengan cara membuka rahsianya dianggap perbuatan mengadu domba dan fitnah. Bahkan, ciri utama golongan pengadu domba adalah mereka gemar bersumpah. Selain itu, semua orang dilihat tidak kena pada pandangannya. 

Apabila ada dua pihak berkelahi akibat perbuatan mengadu domba, ia amat sukar untuk berbaik semula. Ia boleh terjadi kepada suami isteri, sahabat dengan sahabat serta antara majikan dan pekerja. Daripada Hudzaifah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba'." (HR Muslim).

Seharusnya sebagai umat Islam, kita mesti menjaga silaturahim agar ukhwah sesama Muslim itu tersimpul rapi dan agak sukar untuk direnggangkan. Ukhwah adalah tonggak asas untuk umat Islam bersatu padu. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An – Nisa’, ayat 1 yang bermaksud:

“Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Oleh itu, jauhkanlah diri kita daripada mempunyai sikap seperti ini. Nilai silaturahim sejati bukan hanya membalas kebaikan, tetapi berusaha menyambung hubungan walaupun telah diputuskan oleh pihak lain. Menyambung silaturahim termasuk dalam amalan yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT. 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments