JANGAN TERLALU TAKBUR DAN SOMBONG: KEANGKUHAN BUKAN TANDA KEHEBATAN, TAPI KEKUFURAN


Baru-baru ini, tular satu kenyataan daripada seorang tokoh berpengaruh di negara ini yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Islam. Beliau merujuk seolah-olah jika Allah SWT memerintahkan malaikat untuk mengemudi sebuah organisasi atau badan di negara ini, nescaya malaikat juga akan lari – tetapi tidak beliau. Na‘uzubillahi min zalik.

Kenyataan sebegini bukan sahaja melampau, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan terhadap makhluk Allah SWT, iaitu malaikat – makhluk paling taat dan patuh kepada perintah Tuhan. Malaikat tidak pernah derhaka kepada Allah dan sentiasa menjalankan tugas yang diperintahkan dengan penuh sempurna, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran.

Takbur, atau sifat sombong dan bongkak, merupakan antara sifat tercela yang dikecam dalam Islam. Ia membawa kebinasaan bukan hanya kepada individu yang memilikinya, bahkan juga kepada masyarakat dan negara yang dipimpinnya.Takbur bermaksud merasa diri lebih tinggi dan mulia, memandang rendah orang lain – sama ada kerana kedudukan, harta, keturunan, atau ilmu. Sedangkan Allah SWT telah menegaskan dalam firman-Nya:

"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong takbur."
(Surah al-Nahl: 23)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

"Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi, dan kamu sekali-kali tidak akan sampai setinggi gunung."
(Surah al-Isra’: 37)

Sifat takbur juga merupakan punca utama kejatuhan Iblis. Disebabkan rasa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam A.S, Iblis enggan sujud dan patuh kepada perintah Allah, lalu menjadi makhluk terkutuk dan dilaknat sehingga hari kiamat. Begitulah bahayanya sifat sombong. Ia boleh menjerumuskan seseorang kepada kekufuran, walaupun dia asalnya seorang yang berilmu, berpangkat, atau kelihatan ‘dekat’ dengan agama.

Adakah kerana berjaya menghadapi ujian kepimpinan, seseorang itu boleh mendakwa dirinya lebih hebat daripada malaikat? Merasa diri terlalu hebat adalah satu bentuk kesombongan yang boleh menjerumuskan kepada kekufuran, terutama apabila menyandarkan kehebatan itu kepada diri sendiri, bukan kepada pertolongan Allah. Bercakap tentang agama bukan bererti seseorang itu kebal dari ujian akhlak. Lidah yang ringan menuturkan teori agama tetapi hati sarat dengan rasa bangga dan ujub adalah tanda penyakit hati yang perlu dirawat segera.

Islam sangat menekankan sifat tawaduk dan merendah diri sebagai kunci kepada kejayaan dan keberkatan. Allah SWT amat mencintai hamba-hamba-Nya yang tidak meninggi diri, walaupun dikurniakan kejayaan dan kelebihan. Setiap Muslim perlu menginsafi bahawa asal usul dirinya adalah dari tanah iaitu sesuatu yang hina dan tidak bernilai. Maka, tiada ruang untuk rasa angkuh atau megah. Sifat takbur, kebesaran dan keagungan adalah milik mutlak Allah SWT, bukan manusia biasa yang penuh kelemahan.

Nasihat buat kita semua sama ada rakyat marhaen atau pemimpin, jangan sesekali menghina makhluk Allah, jangan merasa diri terlalu hebat mengharungi ujian, dan jangan bawa nama makhluk suci seperti malaikat ke dalam percakapan yang tidak sewajarnya. Berhati-hatilah dengan tutur kata, kerana lidah boleh menjadi punca syurga atau neraka. Perbanyakkan istighfar dan bertaubat jika pernah terlanjur dalam percakapan atau perbuatan. Jadikan sifat tawaduk itu sebagai pakaian, agar kita sentiasa berada dalam reda dan rahmat Allah SWT.

Rujukan:
Harian Metro, Koum Ad-Din, 22 Februari 2022, Al-Quran: Surah al-Nahl: 23, al-Isra’: 37

Comments