Liberalisme adalah kesinambungan daripada sekularisme. Seseorang yang berpegang kepada liberalisme semestinya telah terlebih dahulu menerima sekularisme. Sekularisme tidak boleh difahami sebagai pemisahan antara agama dengan politik semata-mata, hakikatnya sekularisme merupakan suatu ideologi falsafah yang memberi kesan bukan hanya pada aspek politik dan kenegaraan tetapi juga kepada pemikiran dan moriliti masyarakat, dan lebih penting lagi ianya mengubah akidah dan pandangan seseorang Muslim terhadap agama.
Seseorang yang berfahaman sekular tidak lagi melihat agama sebagai panduan dan sumber rujukan dalam menentukan benar dan salah, baik dan buruk. Agama tidak lagi dilihat sebagai rujukan dalam ilmu dan kebenaran, sebaliknya melihat manusia berkuasa sepenuhnya menentukan nasibnya sendiri, hakikat dan peranannya di muka bumi, falsafah moralnya sendiri, tanpa panduan daripada Tuhan dan wahyu.
Kerosakan yang dibawa oleh sekularisme sememangnya sangat besar. Kerosakan ini berlaku pada peringkat yang paling mendasar iaitu kerosakan ilmu dan kekeliruan pemikiran. Kekeliruan asas ini adalah usaha untuk menghilangkan sifat keterkaitan alam dengan Tuhan, membuang hubungan politik dengan agama dan sebagainya, maka akhirnya tindakan manusia berfahaman sekular mahupun liberal terhadap sesama manusia, terhadap agama dan terhadap alam semesta telah mendatangkan kerosakan.
Oleh sebab itu, dapat difahami bahawa mengapa Islam mengajarkan cara beragama yang wajar dengan prinsip wasatiyah (sederhana) iaitu tidak berlebih-lebihan dan tidak ekstrem. Perkara ini sudah tentu untuk mengelakkan daripada kerosakan terutamanya pada pegangan akidah. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran, ayat 159, maksudnya:
“Maka disebabkan rahmat Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”
Sumber: Jurnal Afkar, Vol.20(2) – Universiti Teknologi Malaysia
Comments
Post a Comment