“PESTA GAY” DI PANTAI TIMUR MANUSIA AKHIR ZAMAN SEMAKIN ROSAK AKHLAK


Dunia sudah tenat dan hanya menunggu waktu tamat riwayat. Inilah realiti yang terpaksa kita hadapi apabila pasukan Polis Kelantan berjaya melakukan serbuan di satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di negeri terbabit pada pertengahan Jun lalu. Hasil serbuan itu, polis menemukan ratusan kondom, ubat HIV dan rakaman video lucah dalam telefon bimbit tiga individu. 

Suatu keadaan yang amat menyedihkan. Bagaimana sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam terlibat dengan aktiviti seperti itu. Kewujudan kumpulan-kumpulan yang menyokong amalan LGBT ini amat membimbangkan. Selain daripada bercanggah dengan fitrah manusia, amalan seperti ini amat bertentangan dengan al-Quran dan hadis. Bahkan, Allah SWT telah mengingatkan kita tentang ancaman ini melalui kisah Nabi Lut AS yang dinyatakan didalam al-Quran. Perbuatan terkutuk ini disifatkan oleh Allah SWT sebagai “orang yang melampaui batas”. Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas." (QS Al – A’raaf: 81).

Dalam menangani isu ini, Rasulullah SAW memberi amaran yang keras berhubung perbuatan ini. Rasulullah SAW menegaskan bahawa amalan ini adalah perkara yang dilaknat oleh Allah SWT. Sabda Baginda:

“Allah melaknat mereka yang melakukan perbuatan kaum Lut.” (HR Ahmad).

Andai Allah SWT menyifatkan perbuatan songsang ini sebagai perbuatan yang terkutuk yang dibenci olehNya, mengapa perlu kita menyokong perbuatan seperti itu berleluasa? Kita sedia maklum bahawa perlakuan songsang sebegini bukan sahaja menyalahi agama, malah ia memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan manusia. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, kebanyakan pengidap HIV kini berpunca dari hubungan songsang. Perubahan lanskap data pengidap HIV ini menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh negara dalam menangani gejala hubungan seks sejenis.

Jadi, andai jelas perlakuan terkutuk ini dibenci oleh Allah SWT, malah memberikan impak negatif kepada kesihatan manusia, maka apa perlunya lagi kita mempromosikan unsur-unsur yang berupaya membawa kepada kemungkaran? Jangan kita menormalisasikan amalan songsang ini atas nama kemodenan. Hidup walaupun sudah menongkah arus kemodenan namun iman tetap berpaksi kepada Allah SWT. 

Sumber: Facebook Dr. Ahmad Sanusi


 

Comments