RITUAL MENYALAHI SYARIAT PUNCA KESESATAN AKIDAH


Ajaran sesat telah mula dikesan bergerak di Malaysia sebelum tahun 1950-an lagi. Kebanyakan ajaran sesat bergerak secara senyap-senyap atau tanpa disedari menyebabkan ia sukar dikesan dan dibanteras oleh pihak berkuasa agama dengan lebih awal.

Kini ajaran sesat dilihat semakin berkembang termasuklah yang melibatkan kebatinan sehingga mengamalkan kepercayaan dan ritual ibadah yang membawa kepada kesyirikan atau amalan-amalan sesat yang tidak pernah diajar oleh baginda Rasulullah SAW.  Malah lebih bahaya lagi apabila ada masyarakat Islam membuta-tuli mengikut sesebuah amalan tersebut tanpa menyelidiki lanjut kesahihan sesuatu perbuatan tersebut.

Sebagai contoh, tular program motivasi eHATI yang memberi para peserta minuman buatan pengasas itu sendiri yang dinamakan sebagai ‘Air Piya’. Menurut kajian ‘Air Piya’ tersebut telah dicampur dengan bahan psikoaktif seperti ‘magic mushroom’, sejenis kulat halusinogen yang banyak didapati di destinasi pelancongan seperti di Bali. Kesannya, para peserta mendakwa mereka menjadi terlalu berani secara tiba-tiba, tidak segan untuk menari tanpa berpakaian, meluahkan rahsia peribadi, menangis secara emosi, malah merasakan pengalaman spiritual yang luar biasa.

Beberapa kajian turut melaporkan peningkatan rasa keghairahan, kepekaan tubuh dan lonjakan hormon seperti dopamine dan serotonin selepas pengambilan ‘Air Piya’ tersebut sehingga membuatkan para peserta lebih gembira, yakin dan cenderung berpelukan, menyentuh atau bertindak secara impulsif sesama jantina. Ritual ini dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan situasi yang memalukan atau berbahaya samada pada diri mahupun akidah.

Walaupun isu ini telah mendapat perhatian pihak-pihak berwajib, namun apa yang hendak diketengahkan adalah masih ada yang boleh terpengaruh dan percaya dengan individu-individu yang bukan sahaja menyebarkan doktrin menyalahi agama, malah kadangkala fahaman yang dibawa tidak masuk akal.

Oleh itu, benteng utama bagi setiap individu Muslim untuk mengelakkan diri dari terpengaruh dengan ajaran yang sesat adalah memenuhi diri dengan ilmu agama yang benar dan mempelajari ilmu pengetahuan agama daripada guru-guru agama yang bertauliah iaitu yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama akan kebenarannya. Berbekalkan ilmu tersebut, apa sahaja anasir-anasir negatif yang datang dapat dielakkan. Berkawan dengan orang-orang yang baik juga menjadi salah satu strategi supaya tidak terjebak dengan pengaruh negatif.

Sumber: Jurnal Usuluddin, Vol. 26, Universiti Darul Iman Malaysia


 

Comments