SOLAT ITU SATU KEWAJIPAN : JANGAN TERMAKAN DENGAN PROVOKASI YANG MENGELIRUKAN IMAN

 


Semua orang Islam wajib mengetahui bahawa solat itu adalah satu kewajipan buat setiap yang bergelar Muslim. Solat itu tiang agama seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT menerusi surah Al – Baqarah, ayat 43 yang bermaksud:

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

Namun, ada satu hal yang perlu kita ketahui. Dalam kita mengerjakan perintah Allah SWT, akan ada pihak yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan kepentingan kita untuk bersolat lima waktu seperti mana yang diperintahkan. Ini seperti kes seorang pereka grafik bukan Muslim yang membuat hantaran jelik di laman X dan boleh dikatakan menyentuh sentimen kaum, agama dan raja (3R). Pereka grafik tersebut membuat hantaran dengan mempersoalkan keperluan umat Islam melakukan solat lima waktu termasuklah waktu bekerja. Hantaran tersebut berbunyi:

‘Solat banyak kali sehari, boleh tingkatkan produktiviti di tempat kerja? Kalau ya, bagus. Kalau tidak, mereka patut diberhentikan dan solat sepenuh masa di rumah.’

Ramai di kalangan kita yang marah dengan kenyataan itu kerana dilihat mempersendakan agama Islam. Benar, dia sedang mempermainkan agama kita. Namun, apa tindakan kita sebagai umat Islam dari sudut positif? Maka bermula dari hari ini, kita tunjukkan keindahan solat kepada bukan Muslim. Terangkan kepada mereka mengapa kita perlu bersolat, apa yang kita dapat apabila kita bersolat dan lebih penting ganjaran kepada umat Islam apabila mereka bersolat. Tambahan, kita boleh terangkan kepada mereka bahawa gerakan solat juga merupakan sebahagian daripada bentuk senaman regangan setelah bekerja dalam waktu yang lama. 

Janganlah kita hanya tahu meluapkan kemarahan tanpa tahu cara solusi untuk menyelesaikan. Jikalau kita luahkan dengan emosi, apa bezanya kita dengan mereka. Mungkin mereka akan berfikir bahawa orang Islam ini senang terpancing emosi maka mereka makin suka dan galak untuk melakukan provokasi. Ingat, jangan termakan provokasi yang mengelirukan iman. Islam menganjurkan umatnya untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada semua orang, termasuk Non-Muslim. Allah SWT berfirman:

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al – Mumtahanah: 8).

Sumber: Laporan Berita Utusan TV (18 Julai 2025)


Comments