TREND MEMELIHARA ANJING: PENGARUH LIBERALISME YANG MENYESATKAN AKIDAH MUSLIM


Masyarakat Islam masa kini terus berdepan dengan cabaran pemikiran liberal yang semakin meresap masuk dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam hal berkaitan hukum-hakam agama. Pemikiran ini berpaksikan kebebasan mutlak, serta mengagungkan akal melebihi wahyu. Hal ini membawa kepada pengabaian prinsip asas dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Golongan liberal sering menjadikan pendekatan keilmuan Barat sebagai ukuran kemajuan. Bagi mereka, hukum Islam hanya dianggap relevan jika selari dengan sistem dan nilai Barat. Akibatnya, berlaku kecenderungan untuk menyesuaikan syariat Islam dengan kerangka pemikiran sekular dan liberal, lalu menuduh pandangan ulama muktabar sebagai jumud dan ketinggalan zaman.

Salah satu contoh fenomena ini ialah tindakan segelintir umat Islam, khususnya di Malaysia, yang menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan atas alasan kebebasan, kecomelan, atau mengikut 'trend' moden. Perbuatan ini secara tidak langsung memperlihatkan penolakan terhadap autoriti hukum Islam yang sudah lama dipraktikkan oleh masyarakat Islam di negara ini, khususnya yang berpegang kepada Mazhab Syafie.

Lebih membimbangkan, terdapat individu yang tanpa segan silu berkongsi gambar dan video bersama anjing peliharaan mereka di media sosial, seolah-olah mahu menormalisasikan perkara tersebut dalam masyarakat Islam. Walhal, hukum berkaitan najis mughallazah dan larangan memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan telah diperjelaskan secara jelas dalam fiqh Islam.

Dari sudut pandangan mazhab:

Mazhab Syafie yang menjadi pegangan rasmi majoriti umat Islam di Malaysia berpendapat bahawa memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan (pet) di rumah adalah haram, kecuali atas sebab keperluan yang diiktiraf syarak seperti keselamatan, pemburuan, dan penjagaan ternakan.

Menyentuh anjing tanpa keperluan yang sah juga dihukumkan sebagai haram kerana menajiskan diri secara sengaja. Hadis sahih juga menyebut bahawa malaikat rahmat tidak akan masuk ke rumah yang terdapat anjing di dalamnya. Mazhab Hanafi dan Maliki pula mempunyai pandangan yang lebih longgar dalam isu najis anjing. Namun, mereka juga mengehadkan pemeliharaan anjing hanya untuk keperluan, bukan untuk hiburan atau hobi.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Bil. 4/2017 telah memutuskan bahawa hukum memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan di rumah bagi orang Islam adalah haram, kecuali atas keperluan tertentu yang dibenarkan syarak.

Walaupun Islam telah menggariskan kaedah penyucian najis mughallazah (najis berat) apabila berlaku sentuhan, kaedah tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menyentuh atau memegang anjing secara sengaja tanpa sebab syarie. Tindakan seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan hukum, bahkan membuka ruang kepada kekeliruan dan penyelewengan dalam memahami ajaran Islam sebenar.

Fenomena ini jika tidak dibendung akan membawa kepada normalisasi budaya asing yang boleh menggugat identiti dan kefahaman agama umat Islam. Oleh itu, masyarakat Islam perlu berhati-hati dalam menerima pengaruh luar yang boleh menyesatkan akidah dan memecah-belahkan perpaduan umat.Sebagai umat Islam, kita wajib kembali kepada rujukan al-Quran, as-Sunnah dan panduan para ulama muktabar. 

Jauhkan diri daripada anasir pemikiran liberal yang merosakkan dan jangan sesekali menjadikan agama sebagai alat untuk menunjuk gaya hidup yang kononnya moden tetapi hakikatnya menyimpang. Masih banyak haiwan lain yang suci dan tidak menimbulkan kekeliruan untuk dijadikan peliharaan. Maka tiada alasan yang sah untuk memilih anjing semata-mata kerana "kecomelan" atau "trend", yang akhirnya membawa kepada kerosakan akidah dan pemikiran umat Islam.

Rujukan:
e-Fatwa Pulau Pinang Bil. 4/2017, Pandangan Mazhab Syafie, Hanafi & Maliki, Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari & Muslim


 

Comments