KESESATAN PROGRAM MOTIVASI eHATI MENYONGSANG AKIDAH WANITA ISLAM YANG GERSANG


Islam merupakan agama yang syumul meliputi aspek kehidupan termasuk urusan peribadi, kekeluargaan, kemasyarakatan dan hubungan dengan Allah SWT. Oleh sebab itu, sekiranya adanya sesuatu program yang mencetuskan kekeliruan akidah terutamanya menyentuh institusi kekeluargaan dan kesejahteraan individu, boleh dianggap sebagai ancaman serius terhadap kestabilan masyarakat dan masa depan generasi akan datang.

Contohnya, program motivasi wanita dikenali sebagai eHati yang diasaskan oleh pasangan suami isteri, Rahim Shukur dan Diyana Tahir yang turut menjenamakannya sebagai ‘Touch of Ecstasy” (TOE) di bawah syarikat eHati. Program motivasi ini pada asasnya mempromosikan kursus penyembuhan emosi dan pembangunan diri wanita terutamanya pada wanita yang mempunyai masalah rumah tangga, atau wanita yang diganggu oleh kehadiran orang ketiga dalam perhubungan bersama pasangan. Namun, pendedahan oleh seorang pengguna media sosial di Facebook Masyitah Ashari mendakwa program ini sebenarnya menyebarkan aktiviti tidak bermoral dan bercanggah dengan akidah Islam.

Antara ideologi songsang yang disebarkan dalam program motivasi eHati ini adalah: 
1. Sesi Queen Session
 
Pada sesi ini mereka dikehendaki membuka pakaian termasuk pakaian dalam dan mencampakkan ke hadapan dewan sebagai simbolik membuang masalah di dalam diri.

-beberapa individu digelar ‘Cleopatra’ (fasilitator) masuk ke dewan dalam suasana lampu malap diiringi muzik romantik;
-pengasas eHati, Diyana Tahir, muncul dalam keadaan tidak bertudung, berpakaian seksi, menari bogel di hadapan peserta;
-peserta diberi minum sejenis minuman dipanggil ‘Piya’ yang dikatakan dapat menimbulkan rasa berani dan ghairah selepas diminum;
-para ‘Cleopatra’ menari secara mengghairahkan dalam keadaan berbogel, berkelakuan tidak senonoh termasuk melakukan aksi berunsur seksual sesama wanita.

2. Sesi ‘Sacred Bath’ atau ‘Rebirth’ (kelahiran semula)
-seorang model wanita didemonstrasikan secara berbogel, dibaringkan dan dilap seluruh badannya dengan tuala basah;
-kemudian ditutupkan seperti mayat dan dibuka semula;
-upacara ini sebagai simbolik kelahiran semula dan diri telah menjadi suci lagi bersih dari segala energi buruk dalam badan. 

3. Teknik ‘13 Jampi Hati Suami’
-teknik berasaskan konsep Chakra dalam kepercayaan Hindu dengan gabungan unsur spiritual asing;
-simbol ‘Cleopatra’ dijadikan ikon wanita unggul walaupun sejarah ‘Cleopatra’ tidak selari dengan nilai Islam.

4. Teknik ‘Yoni Massage’
-teknik mengurut faraj yang menyerupai ajaran ‘New Age Movement’;
-diambil dari amalan syirik Tantra Hindu;
-seorang lelaki Indonesia telah membuat urutan intim terhadap beberapa peserta wanita dengan alasan membuka tenaga tersekat dan menyembuhkan trauma seksual;
-teknik ini dilakukan sebagai simbolik ‘healing’.

5. Menggalakkan wanita untuk ‘Fana’
-alat yang dikatakan menggalakkan wanita mencapai kenikmatan seksual sendiri tanpa kebergantungan kepada pasangan.

Berdasarkan ideologi-ideologi yang disebarkan oleh pengasas program motivasi eHati ini, jelas mempromosikan kebebasan syahwat, menormalisasikan maksiat atau menggalakkan gaya hidup bertentangan dengan fitrah insan dan kekeluargaan. Malah ia turut mengancam asas perkahwinan serta peranan semula jadi lelaki dan wanita dalam institusi keluarga.

Pendekatan yang menggunakan istilah seperti kasih sayang, penerimaan diri atau kebahagiaan tanpa berpaksikan syariah, malah diselitkan unsur falsafah sesat serta budaya songsang yang bercanggah dengan akidah dan akhlak Islam sewajarnya ditolak. Ideologi sesat seperti ini perlu ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa agama dan prinsip Islam menekankan bahawa pentingnya menjauhi perkara yang membawa kerosakan atau keburukan. Justeru itu, kukuhkan akidah, pelihara akhlak agar maruah Islam terjaga dan melahirkan generasi beriman serta bertamadun.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –JUL 2025, Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia – 12 JUL 2025, Facebook Masyitah Ashari


 

Comments