AMBANG SAMBUTAN KEMERDEKAAN: RAKYAT MALAYSIA PERLU PATUH KEPADA PEMERINTAH


Patuh kepada pemerintah negara adalah prinsip penting yang menekankan kesetiaan dan ketaatan warganegara kepada institusi pemerintah dan pemimpin negara, seperti yang dinyatakan dalam prinsip Rukun Negara Malaysia, "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara". Kepatuhan ini memastikan keamanan, keharmonian, dan kestabilan negara dengan menjauhkan rakyat daripada anasir perpecahan dan keganasan, serta mengukuhkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Tidak kiralah bagi umat Islam ataupun yang bukan Islam, selagi mana kita sudah menjadi rakyat bagi sesebuah negara, maka wajib untuk kita taat akan perintah pemimpinnya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” (QS An – Nisa’: 59).

Isu di atas dibincangkan setelah seorang peguam bernama Edmund Bon mengeluarkan kenyataan pada tahun 2014 bahawa orang bukan Islam tidak perlu patuh pada titah Raja kerana ia dikatakan melanggar hak perundangan mereka. Bukan itu sahaja, pengasas Lawyers for Liberty, Eric Paulsen juga menyatakan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh institusi Raja terhadap bukan Islam. Apa-apa titah dikeluarkan, sama ada daripada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong, tidak terpakai kepada bukan Islam.

Artikel ingin mengingatkan di sini. Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan di negara ini dan benar agama – agama lain berhak mengamalkan kepercayaan mereka di mana sahaja di negara ini selagi tidak melampaui batas. Akan tetapi dari segi Perlembagaan, kita semua terikat di bawah satu ‘payung’ pemerintahan iaitu di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Maka suka atau tidak suka, kita wajib mengikuti selama mana ia tidak bercanggah dengan jenayah dan selagi kita bergelar warganegara Malaysia. 

Islam mengajar mentaati pemerintah pada setiap perkara yang makruf. Ini kerana arahan pemerintah selagi mana ia menyeru kepada kebaikan dan kemaslahatan rakyat secara umum hendaklah didengar dan ditaati walaupun arahan yang dikeluarkan tidak dipersetujui oleh pandangan peribadi segelintir rakyat. Perkara ini dijelaskan dalam satu kaedah fiqh yang masyhur yang menyatakan bahawa setiap arahan atau urus tadbir seorang pemerintah kepada rakyat hendaklah terikat dengan maslahah. Oleh itu, memberikan taat setia kepada pemerintah dalam setiap perkara makruf merupakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai seorang rakyat. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA:

“Wajib bagi setiap Muslim patuh dan taat (kepada pemimpin) pada apa yang dia suka dan dia benci, selagi mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Justeru apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat.” (HR Bukhari dan Muslim).

Semakin Malaysia memasuki ambang 68 tahun kemerderkaan, semakin ramai rakyat yang berfikiran sekularisme seperti ini. Dalam kita sedar, negara sedang diancam dengan pemikiran sekularisme yang membahayakan masa hadapan anak – anak kita yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan. Maka, hendaklah kita menanam kembali sifat patriotik di dalam diri dan generasi masa hadapan untuk sentiasa patuh kepada pemerintahan negara tidak kira bangsa dan agama. Jangan biarkan negara tergadai dek kerana pemikiran sekularisme ini. Pelihara kedaulatan institusi Raja dan Agama Rasmi Negara kita.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments