Sebuah kisah berkenaan seorang individu Islam, Abu Yusuf al-Malizi, telah mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Melayu, bekas Muslim yang kini tiada agama, menentang dakyah Islam dan ingin membongkarkan kepalsuan Islam. Jika dahulu pada tahun 2015, beliau popular dengan blognya yang bernama ‘AKU SEORANG BEKAS MUSLIM’.
Sebagai contoh dalam satu ‘posting’ nya yang mengupas berkenaan isu ilmu hitam dan Islam. Dalam isu ini beliau mendakwa tidak percaya dengan ilmu hitam ini kerana tiada satu pun bukti sainstifik yang meyakinkan menyatakan bahawa wujudnya hantu, jin atau syaitan. Katanya ilmu hitam melanggar logik akal, tidak dijangka, tidak mengikut aturan alam, melawan hukum fizik serta boleh dianggap sebagai karut dan mitos.
Dakwanya lagi, sekiranya ilmu hitam itu benar berlaku, namun ia tidak membuktikan bahawa Islam itu benar atau mana-mana agama itu betul. Hal ini kerana menurutnya tok sami Buddha pun mampu menghalau hantu dan ilmu hitam dari badan pesakit apabila dibacakan mantera-mantera daripada agama Buddha. Begitu juga dengan paderi Kristian, rabbi Yahudi, pendeta Hindu dan pengamal perubatan atau para ustaz beragama Islam yang turut mampu untuk menghalau dan menyembuhkan penyakit ilmu hitam dengan bacaan dari kitab suci agama masing-masing. Jadi mengapa perlu ada agama?
Ternyata sekali penulisan di dalam blognya penuh dengan kata-kata nista terhadap Islam dan yakin bahawa Islam tidak boleh dipercayai kerana menganggap ianya bukan dari Tuhan. Seruannya untuk mengembangkan kelompok masyarakat Melayu Islam ke arah pegangan yang tidak bertuhan secara terang-terangan seharusnya perlu dikhuatiri dan dibendung oleh semua pihak berwajib mahupun individu kerana seruan ini mampu mempengaruhi minda dan akidah masyarakat Islam yang lemah.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haqcentre Malaysia dan abu-yusufmalizi.blogspot.com
Comments
Post a Comment