AWAS DENGAN TAUBAT ‘AIR MATA SANG BUAYA’ YANG MEMANIPULASIKAN PERASAAN MERUNTUHKAN AKIDAH

 

 
Taubat air mata buaya? Sekali dengar, terasa sinis. Namun, itulah realiti bagi sebahagian penganut dan pengamal ajaran sesat. Tatkala sesi taubat dijalankan di majlis agama Islam negeri terlibat, tangisnya pecah bak air bah, teresak-esak sambil mengaku bersalah, terasa benar mereka sudah bertaubat.

Namun, aduhai ternyata air mata itu palsu. Misalnya, pada 5 OGOS 2O25, sepasang suami isteri telah didakwa dan mengaku bersalah kerana memiliki buku dan dokumen mengandungi ajaran ‘The Ahmadi Religion of Peace and Light’ yang difatwakan haram di Pahang. Seorang penolong pegawai kesihatan turut mengaku bersalah kerana memiliki buku berkaitan ajaran sama dan turut didakwa menyimpan buku ajaran Syiah. Sedangkan sebelum ini ketua ajaran sesat dan ahli-ahli kumpulan tersebut yang terlibat sudah menjalani sesi taubat.

Fenomena seperti ini bukanlah baru, tetapi semakin menjadi-jadi. Penganut ajaran sesat ini bagaikan sudah belajar seni ‘tangis hiba’ itu sekian lama. Aksi mereka ‘live’ sekali, kalah sang primadona. Setelah bebas, ternyata tidak lama kemudia terdakwa semula. Ajaran salah itu kembali bergelora di jiwa, seakan-akan taubat kelmarin tiada ertinya.

Justeru itu, apa yang diharapkan pada golongan-golongan seperti ini, cukup-cukuplah sudah dengan drama tangisan air mata buaya itu. Gantikan dengan tangisan air mata keinsafan. Belajarlah mengakui kesalahan diri. Sedarlah dan bertaubatlah dengan taubat yang tidak ada hentinya. Moga Allah SWT memberikan taufik dan hidayah-Nya. Renungkan-renungkan.

Sumber: Berita Harian- 05 OGOS 2025 dan Pencetus Minda Generasi- Majlis Agama Islam Selangor


Comments