Baru – baru ini kecoh di media sosial mengenai seorang selebriti yang menjalankan kolaborasi perniagaan bersama dengan seorang lelaki yang dikenali dengan gelaran ‘Hot Daddy’. Sekadar info, ‘Hot Daddy’ adalah seorang lelaki yang pernah ditahan oleh pihak berkuasa dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan merakam, mengedar dan menjual kandungan lucah dan kes ini masih berjalan. Menjalankan perniagaan itu adalah satu perbuatan yang bagus. Bahkan, Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.” (HR At – Tirmidzi).
Islam memerintahkan supaya kita melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar seperti dinyatakan oleh Allah SWT melalui Surah ali Imraan ayat 104, bermaksud:
“Dan jadilah sebahagian daripada kamu suatu umat yang mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, dan merekalah orang-orang yang beroleh kejayaan.”
Seharusnya sesebuah perniagaan perlu dilakukan dengan cara yang mengikut syariah dan bukannya dengan cara menayangkan kemungkaran demi mengaut keuntungan. Antara syarat perniagaan mengikut syariat yang ditetapkan di dalam agama Islam adalah:
1) Berasaskan barangan halal.
2) Elakkan penipuan dan manipulasi.
3) Jauhi monopoli.
4) Tidak melanggar perintah Allah SWT.
5) Hormati hak milik.
6) Niat yang tulus.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda antara mafhumnya:
“Sesiapa yang menciptakan atau memulakan sunnah yang buruk dalam Islam akan menanggung dosanya sendiri dan dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosa yang mengikuti.” (HR Muslim).
Maka dari itu, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk tidak menyokong perniagaan seperti ini kerana dikhuatiri akan menggalakkan berlakunya unsur – unsur yang haram bertebaran dan meresapi masyarakat kita. Perbuatan ini seharusnya wajar dihalang dan perniagaan seperti itu wajar dikekang kerana ia akan merosakkan akhlak dan moral masyarakat khususnya belia Islam.
Sumber: Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan
Comments
Post a Comment