GENCATAN SENJATA THAILAND – KEMBOJA MENDAMAIKAN KETEGANGAN ITU SATU TUNTUTAN


Ketegangan yang melanda antara dua buah negara ASEAN iaitu Thailand dan Kemboja kini mencapai kata sepakat apabila keduanya mengambil keputusan untuk melakukan gencatan senjata serta – merta. Ketegangan yang sudah berlaku sejak sekian lama ini kembali memanas apabila berlakunya banyak konflik dalaman hingga akhirnya berlaku serangan ke atas satu sama lain.

Namun, usaha Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mendamaikan kedua – dua buah negara ini berhasil apabila berjaya melakukan gencatan senjata yang memberi kelegaan kepada rakyat bagi kedua buah negara. Tindakan dan usaha Malaysia ini bukan sahaja menuai pujian rakyatnya sendiri malah rakyat Thailand dan Kemboja juga turut mengucapkan terima kasih atas usaha tersebut. 

Islam agama kedamaian, dan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri adalah contoh yang wajar diikuti oleh umat Islam di negara ini. Usaha ke arah perdamaian sesama manusia adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah SWT kerana mendamaikan dua pihak yang bertelagah diumpamakan menyatukan dua hati yang berpecah seterusnya menutup pintu fitnah yang bakal dicetuskan oleh kedua-dua pihak. Firman Allah SWT:

"Dan ingatlah akan nikmat Allah padamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu lantaran nikmat daripada Allah SWT." (QS Ali ‘Imran: 103).

Ingatlah, Islam mengajar kita untuk sentiasa hidup dalam keharmonian dan mengutamakan perpaduan ummah. Apa yang dilakukan oleh Malaysia hanyalah dengan satu tujuan, iaitu kedamaian. Dengan kedamaian sahaja kita dapat mengecapi keamanan yang diidamkan oleh seluruh umat manusia. Allah SWT berfirman:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al – Hujurat: 9 & 10).

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments