GMRB: BAHAYA RADIKALISME DAN PENGARUH IS DI MALAYSIA

 


Pada 15 OGOS 2025, dua pekerja kilang warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS). Seorang menyokong melalui Facebook dan seorang lagi menyimpan gambar bendera IS di dalam telefon. 

Menurut statistik dan trend radikalisme di Malaysia pada 2025, seramai 36 pekerja migran Bangladesh di Malaysia dikenal pasti mempunyai kaitan dengan IS, khususnya melalui kumpulan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB). Kesemuanya direkrut melalui media sosial dengan cara propaganda digital, janji ‘jihad’ dan pengumpulan dana.

Persoalannya, bagaimana kumpulan GMRB yang bermotifkan radikalisme ini boleh berkembang di Malaysia?
1. Radikalisasi perlahan (Slow Grooming)
Secara psikologinya, individu sering bermula dengan hanya membaca, ‘like’, atau berkongsi konten ekstremis, tanpa disedari inilah proses radikalisasi perlahan yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak lebih jauh.
2. Keterasingan dan tekanan hidup 
Migran yang jauh dari keluarga mudah mencari identiti baru atau ‘tujuan hidup’, tanpa disedari keadaan ini telah dieksploitasikan oleh pengganas. 
3. Ilusi pahala dan mati syahid
Ideologi IS yang memutarbelitkan konsep agama dengan ilusi pahala dan mati syahid telah memberi ‘makna’ pada diri mereka bahawa adalah ‘halal’ untuk bertindak ganas.

Justeru itu, elakkan kongsi, ‘like’, atau ‘subscribe’ kandungan mencurigakan. Fahami taktik propaganda digital (janji syurga, heroisme palsu, mesej penuh kebencian). Pada masa yang sama, tangkapan terhadap GMRB ini harus menjadi peringatan keras bahawa bahaya pengganas tidak hanya datang dalam bentuk serangan fizikal, tetapi juga melalui serangan ideologi di media sosial.

Masyarakat harus lebih bijak, berwaspada dan tidak memberi ruang kepada propaganda halus yang merosakkan akidah, keselamatan dan masa depan generasi akan datang. Ingat, sokong walau sekadar di media sosial tetap dikira sebagai jenayah berat. Keselamatan negara bermula dengan kesedaran masyarakat.

Sumber: Malaysia Gazzete, OGOS 2025 dan Islamic State- Bengal Province.


Comments