IKATAN KASIH SAYANG YANG DICEMARI DENGAN NUSYUZ - KAWAL KEMARAHAN DAN AMBIL TINDAKAN BIJAK


Kejadian seorang tukang masak yang didakwa di Mahkamah Majistret di Seremban akibat pertuduhan menikam dada seorang lelaki yang berstatus duda hingga menyebabkan kematian mangsa merupakan satu kisah yang paling tragis di dalam institusi kekeluargaan pada tahun ini. Manakan tidak, banyak spekulasi kurang enak yang didengari sebelum tercetusnya insiden menyayat hati ini.

Dalam hal ini, para suami perlu bertindak lebih rasional dan tidak mengikut emosi. Suami beragama Islam masih boleh memfailkan nusyuz terhadap pasangannya di Mahkamah Syariah meskipun Seksyen 498 Kanun Keseksaan, yang menjenayahkan perbuatan lelaki menggoda isteri orang telah dimansuhkan pada Disember 2023. Manakala, bagi mereka yang bukan beragama Islam, saman sivil boleh difailkan di bawah peruntukan undang-undang keluarga sekiranya terdapat lelaki lain yang cuba mengganggu rumah tangga hingga mendorong si isteri curang.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menasihatkan kita untuk melakukan empat perkara ketika sedang marah iaitu:

1) Duduk jika berdiri, baring jika duduk. Ini bertujuan untuk meredakan emosi.
2) Mengambil wuduk. Ini kerana air wuduk mampu menyejukkan hati yang sedang membara.
3) Elakkan membuat keputusan besar. Maksudnya jangan terburu - buru ketika marah. 
4) Diam. Kerana diam itu lebih menenangkan.

Untuk situasi seperti ini, para suami yang mengalami hal yang sama perlu duduk dan fikir sejenak seterusnya baru mengambil langkah yang tepat dengan membawa perkara ini ke pihak yang berwajib. Mengambil tindakan sendiri ketika sedang marah hanya akan mendatangkan risiko besar dalam kehidupan anda. Keluarga porak - peranda, anak - anak terabai, permusuhan di kalangan keluarga dan keluarga mertua serta bermacam lagi perkara negatif akan terjadi.

Ingatlah, syaitan amat suka ketika kita sedang dalam amarah dan syaitan amat suka dengan apabila kita berpecah belah. Jaga ikatan perkahwinan dengan sebaik mungkin dan suburkan kasih sayang dengan cara didikan rumah tangga versi Rasulullah SAW. 

Sedikit pesanan buat para isteri, syaitan akan sentiasa mengelabui mata anda semua dengan godaan lelaki lain dan menampakkan mereka lebih baik daripada pasangan anda. Jaga - jaga, syaitan sedang cuba mengheret anda dekat dengan pintu neraka. Berdoalah moga dijauhkan dari godaan syaitan dan moga Allah SWT memelihara perkahwinan anda supaya sentiasa berada dalam sakinah, mawaddah dan rahmahNya,  in shaa Allah.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments