Sering kali kita melihat di dalam media sosial bagaimana seseorang yang meluahkan perasaan mereka dengan perkataan ingin bertaubat dan istqamah dalam meninggalkan maksiat untuk seumur hidup mereka. Tidak dinafikan sebagai manusia biasa kita sering kali lalai dan terleka dengan nikmat dunia yang sementara sehingga dalam kita tidak sedar kita telah melakukan banyak maksiat dan dosa.
Namun percayalah, akan ada satu hari naluri kita dijentik untuk bertaubat dan meninggalkan segala maksiat yang dilakukan. Hal ini ternyata bagus dan sangat digalakkan. Namun, untuk mengekalkan kita ke jalan taubat itu hampir menjadi hal yang mustahil dek kerana tahap keimanan kita yang sentiasa naik dan turun. Maka jalannya, taubat dan istiqamah. Taubat ialah pintu rahmat daripada Allah yang sentiasa terbuka untuk hamba-Nya. Firman Allah SWT:
"Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS Al – Zumar: 53).
Taubat mempunyai tiga syarat utama yang mesti dipenuhi agar ia diterima oleh Allah SWT:
• Meninggalkan dosa yang dilakukan dengan serta merta
* Menyesal dengan sebenar-benarnya atas perbuatan dosa itu.
* Berazam untuk tidak mengulangi dosa tersebut.
Beberapa faktor yang harus difahami untuk istiqamah dalam sesuatu perkara. Antaranya ialah:
1. Niat kerana Allah SWT. Seseorang yang ingin melakukan sesuatu perkara semestinya perlu berniat ikhlas kerana Allah SWT. Ini kerana hanya amalan yang ikhlas kerana Allah SWT akan diterima dan dipermudahkan.
2. Berubah mengikut kemampuan. Sebenarnya amalan yang paling dicintai Allah SWT adalah amalan yang sedikit tetapi berterusan. Sabda Rasulullah SAW:
Aisyah bertanya kepada nabi: Amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Dia menjawab, “Yang dikerjakan terus menerus walaupun sedikit, lalu beliau bersabda: “Beramallah sesuai dengan kemampuan kalian.” (HR Bukhari).
3. Memilih sahabat yang baik. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti seseorang.
4. Berdoa. Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Berdoalah kepada Allah SWT kerana dengan izin dan bantuan Allah SWT kita dapat berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain.
Dosa yang berulang bukan tanda ibadah kita tidak diterima, tetapi ia petanda bahawa hati kita memerlukan rawatan berterusan. Istiqamah bukan tentang tidak pernah jatuh, tetapi tentang terus bangun setiap kali jatuh. Ia adalah perjuangan yang berterusan antara kebaikan dan kejahatan dalam diri kita. Teruskan beribadah, perbaharui taubat, dan berusaha untuk menutup setiap pintu yang boleh membawa kepada maksiat. Semoga kita semua dijadikan hamba yang istiqamah dalam kebaikan dan dijauhkan dari jalan maksiat.
Sumber: Laman Web Manisfm
Comments
Post a Comment