Isu buli yang tidak berkesudahan, hal ini bukan baru terjadi dalam masyarakat tetapi budaya ini sudah berlaku sejak berpuluh tahun lamanya. Namun, masih tiada jalan penyelesaian malah semakin ramai yang menjadi korban. Realitinya, ramai remaja yang mahu berubah ke arah lebih baik, namun terperangkap dalam circle atau jemaah yang toksik dalam kalangan mereka kerana kurang alternatif sosial untuk mereka sertai.
Jadi, sudah sampai masanya untuk sekolah atau lingkungan masyarakat mewujud atau memperkasakan jemaah circle alternatif yang positif dan membina kepada para belia yang sedang meningkat dewasa. Antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah latihan seni mempertahankan diri. Ia bukan sekadar untuk kita belajar mempertahankan diri tetapi sebahagian besar kelompok seni mempertahankan diri ini membentuk perasaan kekeluargaan dalam kalangan ahlinya. Seni mempertahankan diri ini bukan sahaja mengajarkan kita erti bertempur, tetapi juga adab, tatasusila dan nilai budaya yang luhur. Dalam kelompok seperti ini, kasih sayang dan keprihatinan sesama ahli menjadi benteng daripada berlakunya perbuatan buli.
Selain itu, sistem usrah antara senior dan junior juga boleh dijadikan wadah membina hubungan yang sihat dan menyokong. Namun, pelaksanaannya perlulah berpaksikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak terpesong dari landasan akidah dan manhaj yang sahih. Rasulullah SAW menegaskan larangan terhadap segala bentuk tindakan yang menyakiti manusia, sama ada melalui perbuatan mahupun kata-kata. Prinsip ini sejajar dengan tuntutan Islam yang menganjurkan kasih sayang, keadilan dan penghormatan terhadap hak serta maruah sesama insan. Sabda Rasulullah SAW:
"Orang Islam yang sempurna keIslamannya adalah apabila orang Islam lain terselamat daripada gangguan lidah dan tangannya." (HR Bukhari).
Terdapat banyak lagi nilai dan sistem dalam budaya masyarakat kita yang boleh dihidupkan semula untuk membentuk jemaah yang sihat dalam kalangan pelajar. Tindakan buli ini bukan saja mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa tetapi mengundang 'kecederaan' mental yang mungkin dihidapi sepanjang hayat seseorang itu.
Budaya kita menekankan nilai prihatin, saling menghormati, dan semangat kekitaan semua ini boleh menjadi teras kepada pembentukan circle pelajar yang mencegah budaya buli dari akar umbi. Walau apa pun usaha untuk mengatasi isu ini, ia haruslah berterusan dan melibatkan kerjasama daripada semua pihak khususnya golongan pendidik, masyarakat dan ibu bapa. Semoga tidak akan ada lagi insiden buli yang melibatkan kehilangan nyawa.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang
Comments
Post a Comment