Isu kes Zara Qairina, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah yang meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu sangat meruntun hati seluruh rakyat Malaysia. Isu ini dikatakan menjadi kontroversi akibat ibunya mempercayai bahawa terdapat unsur – unsur penganiayaan seperti buli sehingga menyebabkan tekanan mental berlaku ke atas Allahyarhamah yang membawa kepada kematiannya.
Isu Zara Qairina, Zulfarhan Osman, Mohamad Nazmie Aizzat, T.Nhaveen dan ramai lagi yang terlibat, berapa banyak lagi nyawa anak – anak kita yang harus menjadi korban penganiayaan manusia yang tidak bertanggungjawab? Adakah kita mahu terus kekal membisu? Tahukah perbuatan kita itu termasuk dalam perbuatan menzalimi orang lain? Firman Allah SWT:
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).” (QS Ibrahim: 42).
Memelihara nyawa sudah termasuk dalam salah satu konteks Maqasid Syariah iaitu Hifz al – Nafs (menjaga nyawa) di mana kita perlu memastikan keselamatan dan perlindungan nyawa manusia. Islam menegaskan nilai kehidupan manusia dan mengharamkan pembunuhan, kecuali dalam keadaan tertentu yang dibenarkan syarak.
Islam meletakkan harga yang amat tinggi ke atas nyawa setiap makhluk. Nyawa seseorang manusia tidak boleh diambil atau ditamatkan sewenang-wenangnya tanpa hak. Semua makhluk berhak untuk hidup dengan tenang. Sifat perikemanusiaan dan menjunjung tinggi kemuliaan insan perlu sentiasa disemat dalam sanubari insan sewaktu melakukan muamalah seharian. Sebaliknya kezaliman dan kekejaman mesti dijauhkan kerana natijahnya mencetuskan suasana huru-hara dan kebinasaan.
Ajaran Islam menetapkan nilai yang amat tinggi ke atas nyawa setiap makhluk. Oleh itu, nyawa seseorang tidak boleh diambil atau ditamatkan sewenang-wenangnya lantaran semua makhluk berhak untuk hidup dengan aman. Setiap manusia bertanggungjawab mengelakkan diri daripada perbuatan yang boleh memudaratkan nyawa sendiri dan orang lain. Dalam hal tersebut, ajaran Islam menegah jenayah pembunuhan sama ada dengan mengambil nyawa sendiri atau membunuh orang lain. Allah SWT berfirman:
"Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” ( QS Al – Maidah: 32).
Oleh itu, marilah kita sama – sama membuka mata dan berganding bahu dalam menangani isu ini bersama – sama. Ini sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia apatah lagi sesama Muslim untuk memelihara setiap makhluk Allah SWT yang bernyawa. Cukuplah kes Zara Qairina sebagai yang terakhir dan jangan ada lagi kejadian seperti ini. Anak – anak muda penentu masa depan negara. Jauhi perbuatan menganiaya dan berlaku zalim sesama manusia. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa menganiaya seseorang dalam perkara sejengkal tanah, maka pada hari kiamat kelak dia akan dikalungkan tujuh lapis bumi.” (HR Muslim).
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment