Doktrin tidak bertuhan iaitu ateisme bukanlah satu ancaman baharu kepada Malaysia. Perkembangan ini berpunca daripada keinginan kepada kebebasan tanpa sempadan lantaran agama dilihat sebagai penuh dengan peraturan, sekatan, pantang larang dan tidak rasional. Tuhan dianggap sebagai sesuatu yang mengganggu kebebasan manusia.
Oleh sebab itu, Ateis di Malaysia tidak seharusnya dibiarkan kerana ia mengancam dan melanggar prinsip kedaulatan undang-undang. Membiarkan mereka bebas menyuarakan pandangan umpama membiarkan mereka menguasai Perlembagaan dan undang-undang. Hakikatnya, negara yang berdaulat tentunya memiliki peraturan dan undang-undang bagi mengawal selia dan menyekat sebarang tingkahlaku yang berpotensi menggugat kestabilan negara dan masyarakat.
Ateisme juga dianggap sebagai ‘tidak berperlembagaan’ kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan tidak membenarkan kebebasan tidak beragama. Kumpulan berfahaman ateisme ini turut disifatkan sebagai kumpulan yang berbahaya kerana Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan penyebaran agama, kepercayaan atau doktrin lain kepada orang Islam di Malaysia. Sekiranya ada pihak mencuba untuk menyebarkan ideologi, doktrin atau menyangkal kesucian agama-agama lain sepertimana Ateis, boleh disabitkan di bawah Akta Hasutan 1948.
Justeru itu, janganlah membiarkan gerakan ini meneruskan agenda mereka kerana ianya samalah seperti membiarkan ‘komuniti’ ini mencorakkan negara. Ditegaskan bahawa hal ini tidak boleh dibenarkan kerana lambat laun akan mengancamkelangsungan keharmonian sesebuah negara. Tindakan mereka semakin berani dengan mempromosikan aktiviti mereka di media sosial juga boleh dianggap sebagai tindakan provokasi kepada masyarakat beragama.
Kuasa negara tidak boleh diambil oleh mana-mana pihak. Oleh sebab itu, pentingnya peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi orang-orang Islam daripada ancaman ateisme dan anasir-anasir lain yang memurtadkan masyarakat beragama.
Sumber: Jurnal al-Takamul al-Ma’rifi, Vol.5(1) – Universiti Sultan Azlan Shah
Comments
Post a Comment