MAHALNYA HARGA SEBUAH KEHARMONIAN JAGALAH KEAMANAN DENGAN SEBAIK MUNGKIN


Keamanan dan keharmonian adalah konsep penting dalam kehidupan manusia dan dianggap antara asas utama untuk kesejahteraan dan kemajuan masyarakat. Keamanan dalam Islam merujuk kepada keadaan individu dan masyarakat bebas daripada ketakutan, ancaman dan bahaya. Ini merangkumi bukan sahaja ketiadaan peperangan dan konflik, tetapi juga ketiadaan ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan. Rasulullah SAW bersabda:

"Seorang Muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya." (HR Bukhari dan Muslim).

Islam mengajar kita bahawa keamanan hakiki bukan sekadar keamanan fizikal semata-mata, tetapi ia lahir dari kekuatan iman yang kukuh kepada Allah SWT. Keamanan yang berpaksikan iman adalah asas kepada kesejahteraan insan, keharmonian masyarakat dan kemakmuran negara. Tanpa iman, keamanan hanya bersifat sementara, rapuh dan mudah tergugat. Oleh itu, dalam konteks Islam, keamanan adalah suatu nikmat yang lahir dari jiwa yang tunduk kepada ajaran Allah SWT. 

Menurut Imam al-Ghazali dalam karya agungnya Ihya' Ulumiddin' menyatakan keamanan adalah salah satu daripada lima maqasid al-syariah (tujuan syariah) yang utama, bersama dengan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Menurut beliau, tanpa keamanan, tujuan ini tidak dapat dicapai dan kehidupan manusia akan menjadi kacau-bilau. Islam menggariskan bahawa keamanan harus bermula dari hati yang beriman, kemudian diterjemahkan dalam kehidupan bermasyarakat dan seterusnya mewujudkan sebuah negara yang aman dan harmoni. Iman kepada Allah SWT menjadi asas utama kerana iman itu yang mendidik manusia untuk menjauhi kezaliman, kekerasan, penindasan dan permusuhan. Orang yang benar-benar beriman sentiasa menginsafi bahawa segala perbuatannya akan dipersoal di hadapan Allah SWT kelak. 

Keamanan memberikan asas kepada kehidupan yang stabil dan harmoni. Dengan keamanan, individu dapat menjalani kehidupan mereka dengan tenang tanpa rasa takut akan ancaman atau bahaya. Keamanan sesebuah negara pula bergantung kepada sejauh mana rakyat dan pemimpin berpegang teguh kepada ajaran Islam. Iman menjadikan pemimpin takut untuk melakukan kezaliman kerana menyedari amanah kepimpinan akan dipersoal di akhirat.

Oleh itu, jagalah keamanan dan keharmonian negara dengan sebaik mungkin. Islam meletakkan asas keamanan negara melalui prinsip keadilan, musyawarah, hormat hak individu dan menghormati undang-undang. Keamanan yang hakiki menurut Islam hanya dapat dicapai apabila berpaksikan iman kepada Allah SWT. Iman melahirkan jiwa yang tenang, masyarakat yang harmoni dan negara yang aman makmur. Tanpa iman, keamanan hanya ilusi yang mudah diruntuhkan oleh nafsu manusia. Firman Allah SWT:

"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), merekalah yang akan mendapat keamanan dan merekalah orang yang mendapat petunjuk." (QS Al – An’am: 82).

Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (31 Mei 2024)


 

Comments