MAJLIS TILAWAH AL – QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE – 65 :MEMARTABATKAN KALAM SUCI DI PENTAS DUNIA

 


Sempena dengan Majlis Tilawah Al – Quran peringakat antarabangsa kali ke – 65 yang berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos 2025 bertempat di Dewan Medeka, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, marilah kita sama – sama menghayati tentang kebesaran mukjizat Rasulullah SAW iaitu al – Quran, panduan hidup bagi semua umat Islam. Kedudukan istimewa al-Quran dijamin dipelihara oleh Allah SWT sehinggalah akhir zaman. Kebenaran kandungannya membuka hati dan menarik ramai bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Kepesatan perkembangan agama Islam di Barat kini mungkin menjadi antara faktor timbulnya kebencian sebahagian musuh Islam terhadapnya.

Kedudukan al – Quran ini sangat tinggi sehinggakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

“Al-Quran ini adakah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf).” (HR Al – Hakim).

Martabat al – Quran sangatlah tinggi meskipun dibakar, dipijak dan dihina, bahkan martabat pelakunya itulah yang pasti turun, jatuh ke dasar paling bawah di sisi Allah SWT serta seluruh makhluk-Nya yang beriman. Kita percaya mereka akan memperoleh azab yang keras dalam api neraka kelak sekiranya tidak kembali kepada Islam dan bertaubat kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya Allah akan mengangkat (memuliakan) dengan sebab al-Quran ini sebilangan kaum dan akan merendahkan (menghinakan) dengan sebabnya pula sebilangan kaum yang lain." (HR Muslim).

Justeru, orang yang mengasihi al-Quran pasti akan dikasihi oleh Allah SWT dan orang yang menghina al-Quran pasti akan dihina oleh Allah SWT. Sebagai umat Islam kita wajib menjaga dan memuliakan al-Quran dan tidak membiarkannya terdedah kepada kerosakan dan penghinaan. Bahkan, kita juga digalakkan untuk membaca dan memahami isi yang terkandung di dalam al – Quran sebagai pedoman buat diri kita bagi meraih kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments