Manusia adalah antara makhluk yang mendapat keistimewaan dan kedudukan paling mulia di sisi Allah SWT di alam ini. Ini seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (QS Al – Isra’: 70).
Hari ini, manusia berlumba-lumba mengejar status, kuasa dan pengaruh, namun ramai yang gagal mendaki puncak akhlak serta keikhlasan. Ketika dunia sibuk membentuk ikon dan influencer, al-Quran lebih awal memperkenalkan satu kumpulan eksklusif yang dimuliakan oleh Allah SWT iaitu 'ibadurrahman' (hamba Allah Yang Maha Pengasih). Terdapat beberapa ciri atau sifat yang membentuk identiti 'ibadurrahman' untuk menjadi landasan penting bagi setiap insan yang mengimpikan kemuliaan di sisi Tuhan. Ciri-ciri ini bukan hanya idealisme mustahil dicapai, tetapi boleh diusahakan oleh setiap insan yang ingin menjadi hamba sejati. Bagaimana?
1) Tawadduk. Sikap rendah diri lahir daripada kesedaran hakikat hamba, bukan kepura-puraan atau kelemahan. Kehebatan tidak dilihat pada gaya, tetapi pada kerendahan hati. Allah SWT berfirman:
"Dan hamba (Allah) al-Rahman ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan penuh tawaduk..." (QS Furqan: 63).
2) Lemah lembut. Mengelakkan mengelakkan perbalahan dan provokasi. Sikap tenang dalam berhadapan kejahilan membezakan orang yang matang dengan reaktif.
3) Menghidupkan malam untuk ibadah. Ini kerana ibadah pada waktu malam menyucikan jiwa, membina keikhlasan dan kekuatan rohani.
4) Memohon perlindungan daripada azab api neraka. Neraka bukan sekadar simbol ketakutan, tetapi peringatan tentang akibat dosa dan lalai. Doa menjadi cermin hati yang penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
5) Bersederhana dalam perbelanjaan. Sikap 'wasatiyyah' dalam perbelanjaan menunjukkan kematangan dalam mengurus harta. Tidak boros, tidak kedekut, tetapi seimbang.
Oleh itu, untuk memelihara kemuliaannya di pentas kehidupan ini, manusia perlu menginsafi hakikat kejadian dirinya dan matlamat hidupnya yang sebenar. Firman Allah SWT:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (QS Al – A’raf: 179).
Dari ayat di atas, kita dapat simpulkan bahawa kemuliaan manusia boleh dicapai dengan syarat manusia ikut peraturan hidup yang ditetapkan Allah SWT dan begitulah juga sebaliknya. Oleh sebab itulah, Allah SWT telah mewartakan secara rasmi bahawa Islam sebagai pedoman hidup manusia sejagat. Secara umum, kemuliaan dan kesempurnaan manusia dapat diperolehi apabila manusia memberikan perhatian serius kepada tiga aspek iaitu jasmaniah atau fizikal, spiritual atau kejiwaan dan hubungan luaran (external).
Umat Islam perlu mendalami ilmu agama dan kehidupan dengan sebaik – baiknya. Dengan car aini sahaja kita mampu meraih kedhaan Allah SWT dan dimuliakan di sisiNya. Kemuliaan hidup bukan terletak pada pencapaian material, tetapi pada kerendahan hati, keikhlasan amal dan kekuatan rohani. Jalan menjadi 'ibadurrahman' terbuka luas, namun menuntut mujahadah, ilmu dan doa yang tidak putus.
Sumber: Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Zainal Abidin (UniSZA)
Comments
Post a Comment