Dalam berjuta manusia yang kita kenal, pasti salah seorang yang dikenali itu bersifat narsistik. Apa itu narsistik? Narsistik ialah satu sifat atau gangguan personaliti di mana seseorang terlalu mementingkan diri sendiri, berasa diri sangat penting, sentiasa mahu dipuji, dan kurang empati terhadap orang lain. Individu narsistik juga cenderung merasakan diri lebih hebat daripada orang lain dan sukar menerima kritikan.Merasa lebih baik dari orang lain. Antara ciri – ciri orang narsistik adalah seperti berikut:
1) Perasan diri hebat – Merasa diri lebih penting, bijak, atau berjaya daripada orang lain walaupun tidak semestinya begitu.
2) Suka dipuji dan diberi perhatian – Sentiasa mahu pujian dan pengiktirafan daripada orang lain.
3) Kurang empati – Sukar memahami atau mengambil berat tentang perasaan dan keperluan orang lain.
4) Eksploitasi orang lain – Menggunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri tanpa rasa bersalah.
5) Cemburu dan rasa terancam – Sering cemburu terhadap kejayaan orang lain atau percaya orang lain cemburu terhadapnya.
6) Angkuh dan sombong – Bersikap bongkak, memperlekehkan orang lain, dan menganggap diri lebih mulia.
7) Sensitif terhadap kritikan – Mudah marah, tersinggung, atau berdendam jika ditegur atau dikritik.
8) Fokus pada penampilan dan status – Sering menonjolkan kekayaan, rupa paras, atau pencapaian untuk dapatkan perhatian.
Sifat narsistik sangat rapat dengan iblis, malah boleh dikatakan sebagai warisan penyakit hati iblis yang paling awal. Allah SWT berfirman dalam surah Al- A’raf, ayat 12 yang bermaksud:
“Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku dari api sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”
Inilah ayat yang dilaungkan oleh iblis kepada Allah SWT apabila disuruh bersujud kepada Nabi Adam AS kerana merasakan diri terlalu hebat diciptakan dari api berbanding Nabi Adam AS yang dicipta dari tanah. Akibat daripada kesombongannya maka Allah SWT menghalaunya dari syurga seperti firman Allah SWT:
"Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina." (QS Al – A’raf: 13).
Maka kita dapat simpulkan di sini bahawa penyakit seperti ini sama seperti sifatnya seperti iblis yang takbur, ujub, hasad, ghurur (merasa diri cukup baik) dan enggan patuh. Jadi, apa tindakan kita dalam menghadapi orang yang memiliki sifat ini? Dalam Islam, kita digalakkan memainkan peranan untuk membendung dan mengelakkan penyakit ini menjadi lebih teruk lagi. Di antara kaedah pengawalan yang boleh diterapkan adalah:
1. Jauhkanlah dari berdebat tentang siapa yang salah atau betul – Perbincangan dan perdebatan berkaitan perkara tersebut akan tiada kesudahannya.
2. Jadilah pendengar yang baik – Keraplah bercerita tentang perkara/aktiviti yang disukai agar ia tidak fokus hanya kepada dirinya sahaja.
3. Kerap puji kebaikan yang dilakukan terhadap orang lain – Kerap memuji kebaikan dapat mengajar mereka untuk berbuat baik kepada sesama manusia.
4. Tunjukkan rasa simpati terhadap apa yang sedang mereka lalui – beri solusi dan kaedah penyelesaian masalah.
Sesiapa yang melihat dirinya lebih utama dari orang lain, maka jiwanya telah rosakseperti iblis yang menolak perintah Allah kerana merasa dirinya lebih baik. Orang yang beriman dan mengenal dirinya sendiri akan sentiasa merasa dirinya hina di mata sendiri. Itulah perbezaan narsistik dan normal. Rawatlah jiwa kita dengan sentiasa tawadduk kepada Allah SWT.
Sumber: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
Comments
Post a Comment