‘PRANK’ BERI TULANG AYAM KEPADA GELANDANGAN : BUDAYA GURAUAN KINI DI LUAR NORMA KEMANUSIAAN


Baru – baru ini kecoh dengan video tiga orang pemuda yang memuatnaik video berkenaan mereka yang makan di sebuah restoran makanan segera dan sisa tulang ayam yang dimakan mereka berikan pada seorang gelandangan yang duduk di luar restoran tersebut. Walaupun video klarifikasi sudah dimuatnaik oleh salah seorang daripada mereka di mana mereka sebenarnya hanya sekadar bergurau dan sudah menyediakan hidangan sebenar kepada gelandangan tersebut, namun mereka tetap menerima kecaman daripada warga netizen.

Hukum asal bagi gurauan atau ‘prank’ adalah dibolehkan selagi mana gurauan tersebut tidak melampau dan boleh diterima oleh orang yang diajak bergurau. Sekiranya gurauan tersebut melampau seperti menipu orang lain, menakut-nakutkan, membuka aib pada orang ramai, dan tidak boleh diterima oleh orang yang diguraukan maka ianya adalah suatu perbuatan yang haram dan dilarang untuk melakukannya. Tambahan lagi, video ‘prank’ yang dirakam tersebut di muat naik dalam media sosial dan akan ditonton oleh pengguna-pengguna lain, sekaligus menyebarkan aib seseorang yang menjadi mangsa. 

Budaya ini semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan anak – anak muda kerana sudah terbiasa melihat begitu banyaknya video – video berkenaan di media sosial khususnya dari negara Barat. Dalam bergurau, sepatutnya kedua belah pihak mengetahui akan situasi yang dihadapi ketika itu adalah dalam keadaan bergurau. Apabila salah seorang tidak mengetahui keadaan ketika itu adalah sedang bergurau, maka ia tidak menepati hukum asal harusnya bergurau. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (QS Al – Hujurat: 11).

Mengada-adakan cerita untuk memberi hiburan kepada orang lain, walaupun sekadar bergurau senda, diharamkan dalam Islam. Perkara pertama yang ditegaskan ialah jangan menjadikan pembohongan atau sesuatu yang diada-adakan sebagai bahan untuk menjadikan orang ketawa. Ia bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW:

“Kecelakaan untuk orang yang bertutur, lalu ia berdusta semata-mata untuk menjadikan orang ramai ketawa. Kecelakaanlah untuknya, kecelakaanlah untuknya.” (HR Ahmad).

Daripada pandangan ulama kontemporari itu jelas konsep kesemua program di televisyen, media sosial mahupun di radio yang bertujuan mengenakan orang lain, namun dilakukan atas dasar gurauan, haram hukumnya. Ia jelas, kerana setiap situasi yang dilakukan itu sengaja direka-reka bagi menimbulkan suasana yang melucukan. Ia berlanjutan sehingga berlaku beberapa perkara yang tidak diingini, seperti melahirkan rasa marah mangsa yang terkena, hingga mengeluarkan kata-kata kesat, maki hamun, cacian dan pelbagai lagi kata-kata negatif yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang Muslim. Bukankah itu satu perkara yang mengaibkan?

Budaya ‘prank’ keterlaluan pada hari ini sudah di luar norma kemanusiaan. Ia telah merosakkan minda dan jiwa-jiwa anak muda. Apakah sanggup kita melihat anak muda dan kanak-kanak mentertawakan orang tua yang menjadi bahan gurauan? Ianya satu perbuatan yang sangat biadab dan  tidak bertepatan dengan syarak dan akhlak Islam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments