Qunut Nazilah adalah doa qunut yang dibaca ketika umat Islam ditimpa musibah atau bencana. Ia dibaca selepas iktidal pada rakaat terakhir solat fardu, dan boleh dibaca pada semua solat fardu (Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isyak). Doa ini dibaca untuk memohon perlindungan dan bantuan Allah SWT dalam menghadapi kesulitan. Qunut Nazilah bukanlah digunakan untuk perbalahan sesama umat Islam. Tindakan membaca Qunut Nazilah kepada sesama Islam tidak sepatutnya berlaku khususnya apabila ia dijadikan alat untuk mengutuk atau mendoakan keburukan terhadap sesama Muslim.
Sejak kebelakangan ini, penggunaan Qunut Nazilah disalah guna, khususnya apabila ia dijadikan alat untuk mengutuk atau mendoakan keburukan terhadap sesama Muslim. Tujuan Qunut Nazilah ini adalah satu bentuk tawajjuh dan permohonan pertolongan kepada Allah SWT yang menunjukkan kesungguhan umat Islam merendah diri pada saat genting. Daripada Anas bin Malik:
"Sesungguhnya Ri'lan, Zakwan, Usaiyah dan Bani Lahyan meminta bantuan daripada Nabi SAW untuk memerangi musuh mereka. Maka baginda SAW menghantar kepada mereka 70 lelaki daripada golongan Ansar yang dikenali sebagai al-Qurra. Mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang hari dan beribadah kepada Allah SWT pada waktu malam. Sehinggalah ketika mereka golongan Ansar sedang berada di lembah Ma'unah, mereka dibunuh dan dikhianati. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca Qunut Nazilah selama sebulan pada solat Subuh bagi mendoakan laknat ke atas puak arab, Ri'lan, Zakwan, Usaiyah dan Bani Lahyan." (HR Bukhari).
Hukum membaca Qunut Nazilah adalah sunat. Namun, adakah ia boleh ditujukan sesama Muslim? Secara dasarnya, qunut ditujukan kepada musuh Islam yang zalim dan memerangi umat Islam. Ulama menyatakan bahawa Qunut Nazilah tidak sepatutnya ditujukan kepada sesama Muslim kerana:
1) Tujuannya adalah memohon pertolongan Allah terhadap pihak yang memusuhi Islam.
2) Melaknat atau mendoakan kecelakaan ke atas orang Islam yang tidak memerangi agama atau hanya kerana perbezaan pendapat politik atau mazhab adalah bertentangan dengan prinsip rahmah dan ukhuwwah.
3) Bahaya melabel dan mendoakan keburukan sesama Muslim. Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang memanggil saudaranya dengan gelaran kafir, maka tuduhan itu akan kembali kepadanya jika saudaranya itu tidak seperti yang dituduh." (HR Bukhari dan Muslim).
Bersihkanlah diri kita wahai umat Islam. Hanya kerana perbezaan pendapat adakah benar tindakan kita untuk mendoakan yang buruk sesama umat Islam? Menjadikan Qunut Nazilah sebagai medium untuk menyerang pemimpin atau kumpulan Muslim tertentu adalah menyalahgunakan ibadah dan menimbulkan fitnah terhadap agama. Hal ini kerana Islam mendidik kita agar bersikap adil, berakhlak dalam perbezaan dan tidak mudah menghukum atau melaknat saudara seagama.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor
Comments
Post a Comment