RASA TIDAK PUAS HATI JANGAN SAMPAI MELAMPAUI BATAS - TEGURLAH PEMIMPIN DENGAN PENUH HIKMAH DAN BERADAB
Artikel melihat situasi pada hari ini sangat berbeza. Rakyat negara ini seolah sudah kehilangan adab kepada para pemimpin apabila sering memuatnaik komen yang berbaur penghinaan, makian dan kata – kata nista. Lebih menyedihkan, ianya dilakukan oleh sebahagian besar umat Islam. Di mana akhlak kita sebagai hamba Allah SWT dan umat Nabi Muhammad SAW? Ajaran Islam menganjurkan agar umat manusia saling menegur dan menasihati antara satu sama lain.
Budaya menegur dan menasihati adalah perbuatan yang terpuji dengan tujuan supaya menyedari kelemahan, kealpaan dan kesalahan yang dilakukan. Amalan menegur dan menasihati juga boleh berlaku sama ada daripada orang tua kepada orang muda atau sebaliknya. Fenomena menghina, mencerca dan menjatuhkan maruah pemimpin negara tanpa adab dan ilmu adalah satu gejala yang sangat merisaukan dan boleh membawa kepada kerosakan masyarakat secara lebih luas.
Islam mengajar umatnya agar sentiasa menjaga adab dalam berbeza pandangan, lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan golongan yang lebih berilmu dan memegang amanah agama. Islam ialah agama yang mendidik umatnya dengan adab dan akhlak yang tinggi, lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan nasihat, teguran dan perbezaan pendapat. Rasulullah SAW bersabda:
"Agama itu adalah nasihat." Lalu ditanya: "Untuk siapa wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam dan orang awam dalam kalangan mereka." (HR Muslim).
Hadis di atas menunjukkan bahawa menasihati pemimpin dan para ulama adalah sebahagian daripada agama. Namun, ia mesti dilakukan dengan hikmah dan penuh adab, bukan dengan cercaan atau penghinaan. Sabda Rasulullah SAW:
"Bukanlah orang yang beriman itu orang yang suka mencela, melaknat, berkata keji…" (HR At – Tirmidzi).
Para pemimpin negara bukanlah insan yang maksum, mereka juga tidak terlepas daripada kekhilafan. Namun, kedudukan mereka sebagai pihak yang berautoriti dalam urusan pentadbiran negara dan agama perlu dihormati. Menghina pemimpin bukan sahaja tidak beradab, bahkan boleh menghakis kepercayaan umat terhadap institusi perlembagaan negara. Mereka yang menghina dan meremehkan institusi pentadbiran negara tanpa ilmu dan adab, sebenarnya telah membuka ruang kepada kemusnahan nilai hormat dalam masyarakat.
Islam menuntut umatnya untuk menjaga lidah dan tulisan, lebih-lebih lagi ketika berbeza pandangan. Teguran yang membina adalah tanda cinta, tetapi cercaan yang menghina adalah bibit kehancuran masyarakat. Kritikan boleh dilontarkan, tetapi biarlah dengan adab, ilmu dan saluran yang betul. Menghina mereka bukan sahaja mencetuskan kekeliruan, malah boleh menghilangkan keberkatan ilmu dalam masyarakat.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Comments
Post a Comment